LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang kembali beroperasi - Utusan Malaysia

LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang kembali beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Loji Rawatan Air Sungai (LRA) Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang telah kembali beroperasi sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berkata, pihaknya masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan pemantauan sehingga pukul 6 pagi ini, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah di tahap 19 peratus dan kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini.

“Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran. Hasil siasatan berdasarkan tahap pencemaran bau yang tinggi adalah berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor.

“Agensi penguat kuasa yang berkenaan akan membuat pengumuman kepada orang awam berhubung pencemaran dari kawasan tersebut,” dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syabas, ekoran masalah itu, pihaknya mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi Pili Awam bermula dari pukul 9 pagi bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan – pelanggan yang terjejas.

“Memandangkan insiden ini melibatkan kawasan skala besar, kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan.

“Justeru, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air, pelanggan dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam yang telah disediakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini