Eain Yow ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan - Utusan Malaysia

Eain Yow ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Hasrat Ng Eain Yow untuk berhadapan ‘musuh tradisi’ Ivan Yuen di pentas akhir sekali gus menebus kekalahan lalu hampir tercapai apabila layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan hari ini.

Selaku pilihan utama, Eain Yow tekad mahu meraih gelaran juara pertamanya pada kejohanan yang berlangsung di Arena Skuasy Nicol David, Bukit Jalil selepas dengan mudah mengenepikan lawannya Siow Yee Xian, 11-8, 11-6, 11-6.

Bakal bertemu Addeen Idrakie esok yang turut dianggapnya sebagai pencabar terkuat, pemain berusia 21 tahun itu bagaimanapun tidak berasa tertekan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya yakin untuk menang walaupun sedar akan menentang lawan yang sukar.

“Tiada tekanan, kerana saya hanya fokus satu perlawanan pada satu masa,” katanya.

Pemain di ranking ke-38 dunia itu, berkata beliau banyak belajar dari kesilapan terutama ketika tewas pada Terbuka British baru-baru ini.

“Itu kekalahan paling teruk saya dan ia memberi pengalaman yang sangat berguna. Ia sangat memberi motivasi terutama untuk saya meningkatkan kecergasan,” jelasnya.

Terdahulu, Addeen yang turun selaku pemain pilihan 3/4, menghadapi saingan sengit sebelum berjaya menundukkan Ong Sai Hung dengan keputusan 11-8, 9-11, 11-3, 11-4.

Manakala juara bertahan, Ivan bakal bertemu Darren Rahul Pragasm selepas menewaskan Ryan Pasqual 12-10, 11-5, 11-6.

Bagi kategori wanita, juara bertahan S. Sivasangari mara ke separuh akhir dengan menewaskan Noor Aina Amani Ampandi dengan 11-8, 11-9, 11-5.

Pemain pilihan kedua itu akan bertemu Rachel Arnorld yang sebelum itu menewaskan Aifa Azman 11-9, 11-6, 11-5.

Pilihan utama, Low Wee Wern pula akan bertemu Chen Yiwen di gelanggang separuh akhir selepas menewaskan Lai Wen Li 11-4, 12-10, 11-5. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini