KEBANGKITAN yang ditampilkan pada set ketiga aksi suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia menjadi faktor utama kemenangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ke atas wakil tuan rumah, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.
Pada perlawanan di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta semalam, Peng Soon-Liu Ying memastikan tempat ke peringkat separuh akhir hari ini selepas menewaskan beregu Indonesia berkenaan menerusi aksi rubber set 21-11, 14-21, 21-14.
Turun sebagai pilihan kelima kejohanan nyata tidak menghadirkan tekanan buat pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 tersebut apabila bermula cemerlang mendominasi set pertama dengan kemenangan 21-11 dalam tempoh 14 minit.
Bagaimanapun, Liu Ying mengakui mereka berdepan kesukaran pada set kedua kerana terikut-ikut rentak permainan pasukan lawan sehingga menyebabkan mereka hilang fokus serta melakukan kesilapan mudah yang menguntungkan beregu Indonesia itu.
“Saya dan Peng Soon sudah banyak kali bermain menentang Tontowi, jadi dia sudah tahu bagaimana untuk berdepan dengan kami. Mereka bangkit pada set kedua selepas kami terikut-ikut permainan mereka dan melakukan banyak kesilapan.
“Apabila sedar dengan kesilapan yang dilakukan, kami mula mengubah strategi pada set penentuan dan kami mula mendapat keyakinan serta kembali mengeluarkan permainan sebenar. Selain itu, kekuatan mental juga membantu kemenangan kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menerusi kemenangan itu, Peng Soon-Liu Ying yang juga beregu No. 5 dunia sekali lagi berdepan laluan sukar apabila dijadualkan bertemu pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping pada aksi separuh akhir hari ini.
Sementara itu, Peng Soon berharap mereka mampu menewaskan Yilyu-Dongping pada pertemuan hari ini sekali gus memastikan tempat ke perlawanan akhir esok.
“Esok (hari ini) kami akan bertemu beregu China dengan rekod pertemuan terikat 2-2, jadi saya harap mampu catat kemenangan ketiga ke atas mereka nanti. Walaupun sukar, saya harap kami mampu kekal fokus dan bersedia dari segi mental untuk tewaskan mereka,” ujarnya.











