KUALA LUMPUR 19 Julai – Lebihan unit kediaman bernilai RM20 bilion di Malaysia memerlukan negara lebih terbuka kepada pembeli asing yang mempunyai kuasa perbelanjaan lebih tinggi untuk memasuki pasaran.
Presiden Institut Ejen dan Pakar Perunding Profesional Malaysia (MIPEAC), Francis S P Loh berkata, warga China dilaporkan membentuk sebahagian besar pembeli asing di Malaysia dan kebanyakan daripada mereka membeli hartanah tersebut secara tunai.
Katanya, setakat ini, warga asing memiliki kurang daripada tiga peratus hartanah Malaysia yang menunjukkan masih selamat untuk mempromosikan rumah tidak terjual kepada mereka dan ia bukan faktor utama menyebabkan harga hartanah melambung dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelasnya, rakyat asing perlu digalakkan untuk menyertai program MM2H (Malaysia Rumah Keduaku) dan melabur dalam hartanah Malaysia bagi membantu mengurangkan lebihan penawaran dalam sektor hartanah.
“Satu kerugian jika promosi MM2H tidak ditingkatkan atau menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hartanah negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa Cawangan Malaysia (FIABCI), Michael Geh baru-baru ini mengatakan Malaysia wajar menggalakkan lebih ramai pembeli asing membeli hartanah tempatan bagi menangani isu unit tidak terjual di negara ini.
Francis berkata, secara umumnya, usaha untuk memacu pelaburan asing dalam segmen lain seperti hartanah komersial dan perindustrian perlu diambil dengan lebih serius.
“MIPEAC percaya banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menggalakkan pembeli dan pelabur asing memasuki pasaran hartanah Malaysia.
“Pembangunan mewah boleh dipasarkan secara lebih intensif di seluruh dunia, bersama promosi yang dilakukan dalam sektor pelancongan,” katanya.
Walaupun pemeriksaan latar belakang yang lebih ketat untuk pemohon MM2H dilakukan baru-baru ini, MIPEAC memuji usaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam mempercepatkan proses kelulusan permohonan tertunda menerusi penubuhan pasukan petugas khas.
Pada masa sama, pertumbuhan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia juga akan menarik lebih banyak pekerja asing profesional yang seterusnya menggalakkan lebih banyak pembelian hartanah oleh ekspatriat.











