KUALA LUMPUR – Mesin gol Malaysian Tigers, Muhammad Razie Abd. Rahim sudah tidak sabar memulakan Siri Jelajah Eropah bermula 25 Julai ini dan dalam masa sama mahu memastikan skuad negara mampu meledak lebih banyak gol menerusi pukulan sudut penalti.
Muhammad Razie yang juga pakar pukulan sudut penalti negara berkata, pasukan telah bekerja keras untuk persediaan ke Eropah, malah sudah bersedia menguji segala taktikal berkaitan pukulan berkenaan dalam sembilan perlawanan siri jelajah tersebut.
“Sebagai seorang flicker, saya akan buat yang terbaik untuk menggalas tanggungjawab ini memandangkan pukulan sudut penalti adalah salah satu kekuatan pasukan selain barisan serangan.
“Kalau boleh sudah tentu saya mahu melihat kami dapat menjaringkan banyak gol daripada setiap pukulan sudut penalti yang diraih di sana nanti, tambahan pula kami sudah tiga minggu berlatih dengan teruk.
“Setiap hari dalam dua minggu ini kami melakukan latihan pukulan sudut penalti selain turut menguji taktikal set-piece,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Skuad hoki negara akan berlepas ke Eropah pada Ahad ini dan akan berdepan lawan-lawan hebat seperti Jerman, Sepanyol, Ireland, England, Belanda dan Belgium.
Kempen Siri Jelajah Eropah adalah sebahagian daripada persediaan Malaysian Tigers sebelum menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan pada Oktober atau November depan.
Malaysia dijangka berdepan tugas getir untuk merebut peluang terakhir ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.
Gergasi Eropah seperti Jerman antara pasukan yang berpotensi ditentang pada pusingan akhir, selain New Zealand, Sepanyol atau Kanada. – UTUSAN ONLINE











