India lancar roket Chandrayaan-2 pada Isnin depan  - Utusan Malaysia

India lancar roket Chandrayaan-2 pada Isnin depan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI – India akan membuat percubaan baharu untuk melancarkan misi angkasa lepas ke Bulan pada Isnin depan, seminggu selepas menunda pelancaran itu pada minit terakhir berikutan kebocoran bahan api, kata pihak berkuasa.

Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) berkata, pelancaran misi Moon Chariot-2 atau Chandrayaan-2 telah dijadualkan semula pada pukul 2.43 petang (waktu tempatan) pada Isnin depan.

Negara itu menyasarkan untuk menjadi negara keempat mendaratkan kapal angkasa ke Bulan selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai-pegawai kanan agensi angkasa lepas India menunda pelancaran roket 56 minit sebelum pelancaran dilakukan pada Isnin lalu ekoran masalah teknikal yang dikesan ISRO.

Laporan media tempatan memetik kenyataan ISRO mengatakan terdapat kebocoran bahan api helium yang berjaya dikesan.

India membelanjakan kira-kira AS$140 juta (RM575 juta) untuk persediaan projek tersebut yang merupakan termurah dalam kalangan negara kuasa penerokaan angkasa lepas.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat membelanjakan kira-kira AS$25 bilion (RM102.8 bilion) ketika persediaan misi Apollo 15 sekitar tahun 1960-an dan 70-an. Ia bersamaan lebih AS$100 bilion (RM411.4 bilion) mengikut nilai semasa.

Roket tersebut akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota, sebuah pulau di luar pesisir negeri Andhra Pradesh, selatan India.

Ia akan membawa sebuah pengorbit, kapal angkasa pendarat dan kenderaan penjelajah yang hampir kesemua direka bentuk dan dibuat di India. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini