KUALA LUMPUR – Prinsipal Pasukan Yamaha Sepang Racing Team (Yamaha SRT), Datuk Razlan Razali menuntut supaya pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah terus berusaha keras dalam baki saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim ini meskipun tempatnya pada musim 2020 dalam kelas perdana itu dilihat sudah tertutup.
Razlan menjelaskan, biarpun tempat Hafizh di dalam pasukan Red Bull KTM Tech3 kini diambil alih oleh pelumba lain, namun peluangnya untuk berada dalam saingan MotoGP masih cerah.
Menurutnya, ketika ini bukan dua pasukan sahaja berminat untuk menyambar khidmat pelumba negara itu tetapi tiga pasukan dalam saingan Moto2 sedang memantau perkembangan Hafizh untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
“Bagi saya Hafizh perlu sambung bekerja keras, walaupun dia tiada kontrak pada musim depan. Dia perlu tunjukkan kepada pada pasukan-pasukan yang mungkin mahu mengambilnya musim depan bahawa dia masih seorang pelumba yang berkaliber.
“Jadi, dia perlu tunjukkan potensi dan tidak perlu rasa kecewa sangat atau putus asa. Bagi saya, dia perlu meneruskan latihan dengan gigih. Ini adalah satu proses yang pelumba akan rasai dan lalui, jadi inilah nasihat yang saya berikan kepadanya.
“Moto2 mungkin berbeza dengan saingan utama MotoGP bagi saya paling senang adalah menyertai pasukan yang menggunakan casis kalex kerana ia adalah casis terbaik setakat ini. Kalau kita tengok pasukan Moto2 agak bagus tetapi kita perlu cari pasukan yang mahu pelumba bagi musim depan.
“Saya juga tolong dia (Hafizh) selain dua pasukan yang mengatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya mungkin ada sebuah pasukan lagi yang mahu melihat potensi Hafizh. Masih ada lagi masa buat Hafizh untuk pamerkan segala-galanya pada baki pusingan musim ini,” katanya baru-baru ini.
Sebelum ini, Hafizh mengakui dia tidak menerima sebarang panggilan dari mana-mana pasukan mengenai masa depannya dalam saingan MotoGP meskipun pelumba Red Bull KTM Tech3 itu dikaitkan menyertai pasukan tempatan negara ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Petronas Sprinta Racing dan Red Bull KTM Tech 3. – K! ONLINE











