Wahdah Temasek tanda cinta Singapura kepada Kelantan - Utusan Malaysia

Wahdah Temasek tanda cinta Singapura kepada Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Julai – Bangunan empat tingkat Wahdah Temasek di sini bernilai RM1.5 juta menjadi bukti tanda persaudaraan erat antara masyarakat Islam Singapura dan Kelantan.

 Bangunan untuk kegunaan Jabatan al-Quran dan Hadis di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri di sini dibina hasil wakaf masyarakat Islam negara Kota Singa tersebut.

 Pengarah Urusan Pusat Kursus Pengajian Al Quran Wal Qiraat ZAG yang juga wakil pewakaf dari Singapura, Zainab Abdul Ghani berkata, pihaknya menjalankan aktiviti mengutip sumbangan selama tiga tahun bermula bulan Mac 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

 Beliau berkata, tiga lagi rakannya dari Singapura yang turut menjadi tulang belakang utama kutipan wakaf itu adalah M. Zuhal A.Latif; Zuraida Mustafa dan Muhammad Nur Firdausz Abdul Lattifuddin.

 “Kami sudah lama buat program kem al Quran dengan Kias bermula lapan tahun lalu malah tenaga pengajar Kias juga datang ke Singapura untuk mengendalikan kelas talaqq qiraat bersanad.

 “Hubungan rapat dengan Kias ini menyebabkan kami terpanggil untuk membantu mengumpul dana sumbangan bagi pembinaan bangunan ini

 “Dalam tempoh setahun sahaja kami dapat kumpul RM1 juta iaitu pada 2017 yang membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan pada Mei tahun itu,” katanya selepas majlis perasmian bangunan Wahdah Temasek di sini hari ini.

 Majlis perasmian bangunan merah bata yang menjadi mercu tanda baharu Kias itu yang siap pada awal bulan ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

 Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kias, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin.

 Bangunan itu yang turut dikenali sebagai bangunan Akademi Tahfiz Kias dengan keluasan 1,500 meter persegi dilengkapi dengan dewan kuliah, 11 bilik tutorial, satu bilik studio al Quran dan perpustakaan.

 Sementara itu, Zainab berkata, pihaknya akan meneruskan kutipan wakaf untuk mencari dana berjumlah RM300,000 lagi bagi melengkapkan kemudahan untuk pelajar di situ.

 “Saya yakin bangunan ini boleh jadi tumpuan kepada rakyat Singapura yang sebenarnya suka melancong ke negeri ini lebih-lebih lagi dengan adanya penerbangan terus tambang murah dari Singapura ke sini,”katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini