Sumpahan lagu Ziana Zain - Utusan Malaysia

Sumpahan lagu Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI Ziana Zain mengakui mengambil masa yang cukup panjang sebelum benar-benar bersedia untuk mengambil sebarang tawaran persembahan yang berskala besar selepas melalui episod perceraian dengan bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri tahun lalu.

Kata penyanyi berusia 51 tahun itu, dia pernah menolak banyak tawaran persembahan pada tahun lepas kerana mahu mengumpul semula kekuatannya yang pernah hilang.

Bukan mudah untuk melupakan segalanya dalam sekelip mata, apatah lagi lagu-lagu dendangan Ziana mempunyai kaitan rapat dengan apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Buktinya Ziana kelihatan terlalu sebak sehingga menitiskan air mata ketika menyampaikan lagu Berpisah Jua sewaktu siaran langsung program Konsert Minggu Ini: Ratu 2.0 di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ikuti penjelasan daripada ibu kepada empat cahaya mata itu ketika ditemui usai konsert berkenaan.

KOSMO!: Mengapakah Ziana menangis ketika menyampaikan lagu Berpisah Jua sehingga perkara tersebut menjadi perbualan peminat dalam media sosial?

ZIANA ZAIN: Saya tidak dapat menahan sedih sebab kebanyakan lagu saya semuanya seperti terkena balik pada diri sendiri. Seakan lagu-lagu itu disiapkan untuk perjalanan hidup saya sekarang. Sewaktu menyanyi, seolah-olah saya tujukan lagu itu kepada diri sendiri. Sebab itulah saya tersentuh dan menangis.

Adakah lagu itu membuatkan anda terkenang dengan kisah lama?

Bukan terkenang, tetapi lagu itu kena dengan keadaan saya sekarang. Kalau dulu saya menyanyi 10 kali pun lagu tersebut tiada sebarang emosi. Tetapi sekarang begitu terasa. Jika saya mengelak untuk menyanyikan lagu Muara Kasih, lagu-lagu yang lain pun sama sahaja. Kebanyakan lagu saya semuanya sedih. Mahu atau tidak, saya perlu menyanyi juga. Walaupun menyentuh emosi saya, tetapi lagu itulah yang menjadi malar segar.

Apakah anda tiada perancangan untuk mengadakan persembahan solo?

Jika diikutkan program Konsert Minggu Ini: Ratu 2.0 adalah persembahan paling besar untuk saya pada tahun ini. Sejujurnya, sejak tahun lepas sehingga ke hari ini ada sahaja orang memberikan tawaran untuk saya mengadakan persembahan. Namun, saya menolak sebelum ini sebab seperti dikatakan tadi, saya memerlukan mental yang kuat untuk mengadakan persembahan kerana lagu-lagu itu sangat kena dengan diri sendiri. Biarlah saya bersedia sepenuhnya dari segi mental dahulu. Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik berbanding sebelum ini. Cuma masih memerlukan masa untuk betul-betul pulih walaupun ada masanya saya teringat dan berasa sedih.

Boleh kongsikan perkembangan terkini kerjaya seni anda?

Saya penuhkan jadual kerjaya dengan satu kerja sahaja setiap bulan sebab nanti takut bercampur-campur dan menjadi kelam kabut. Buat masa sekarang saya banyak terlibat dengan program televisyen sahaja termasuk di Singapura.

Soal lagu baharu, saya tidak pasti lagi kerana masih dalam, peringkat perancangan sama ada mahu buat single sahaja atau album. Cuma tahun lepas saya cuba masuk studio untuk merakamkan lagu baharu, tetapi waktu itu mental masih belum kuat.

Bagaimana pula dengan dunia lakonan?

Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi drama Mak Cun musim keempat pada tahun lepas. Buat masa sekarang, saya hentikan seketika sebab tidak larat. Berlakon memakan masa panjang berbanding menyanyi. Bagilah saya rehat dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini