Sharifah Zarina mengubat kecewa - Utusan Malaysia

Sharifah Zarina mengubat kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika dahulu, penyanyi Sharifah Zarina pernah berhadapan detik sukar dalam karier apabila kehadirannya seakan-akan sudah tidak lagi diterima industri.

Usahanya untuk mengekalkan karier nyanyian juga sudah dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menghasilkan lagu sendiri dalam tempoh setiap dua tahun.

Bagaimanapun, usaha tersebut hanya dipandang sepi. Dia pula seperti tiada hala tuju kerana lagu-lagunya langsung tidak diterima mana-mana stesen radio.

Memuatkan artikel berkaitan…

Situasi sebegitu membuatkan pemilik nama lengkap Sharifah Zarina Wan Hassan bungkam kecewa sehingga mengandaikan kariernya bakal menemui titik noktah.

Sehinggalah suatu hari cerita duka itu bertukar bahagia apabila pertemuan dengan komposer terkenal Sharon Paul membuka cerita baharu untuk kariernya.

“Saya bertemu Sharon pada 31 Ogos tahun lepas ketika kami sama-sama menyertai festival jualan di sebuah tapak perniagaan. Waktu itu anak saya pergi bermain alat muzik di gerai kelas muzik anjurannya.

“Apabila dia tahu budak itu anak kepada penyanyi, dia cari saya. Selepas berbual panjang, barulah saya tahu dialah Sharon Paul. Selama ini saya tidak pernah kenal wajahnya melainkan cuma tahu nama.

“Pertemuan itu mengubah hidup saya dalam sekelip mata kerana menerusinya Sharon memberikan saya sebuah lagu. Maka terjadilah kemunculan semula saya dalam industri menerusi lagu Pernah Bahagia,” ujarnya membuka kisah kebangkitannya usai majlis pelancaran single Pernah Bahagia dan Kelab Peminat Diknonsky7 di Hotel Berjaya Times Square, di ibu kota baru-baru ini.

Kembali semangat

Selepas pertemuan yang memulangkan kembali dirinya ke dalam industri, Sharifah Zarina enggan berpaling atau mengingati kisah lama. Sekarang adalah untuk masa untuk meneruskan langkah yang sudah terhampar depan mata.

Kegembiraan berganda, dia bukan sahaja kembali aktif bahkan lebih manis lagi Pernah Bahagia juga terpilih sebagai lagu tema siri drama Utusan Cinta Buat Adam yang kini sedang bersiaran menerusi slot Akasia TV3.

“Sewaktu saya bergelut untuk memperkenalkan lagu kepada orang, hasilnya tetap tiada walaupun pada waktu itu saya pernah melantik pengurus dan ada pasukan untuk tujuan promosi.

“Kini, walaupun bergerak sendiri, saya berjaya lakukannya sampai tahap lagu ini menjadi tema drama untuk slot popular. Benarlah kata orang, rezeki itu datang tepat pada masa. Saya langsung tidak pernah bayangkan dengan apa yang terjadi pada hari ini,” ujarnya sebak.

Tidak muncul dengan tangan kosong, ibu kepada tiga cahaya mata itu hadir dengan persediaan rapi untuk mengekalkan konsistensi dalam industri.

Kata Sharifah Zarina, biarpun namanya seakan sepi daripada radar seni tanah air, namun rezeki tidak pernah terhenti kerana sehingga kini dia masih menerima undangan nyanyian terutama di negeri kelahirannya, Sarawak.

“Saya memang utamakan vokal. Setiap saya akan menyanyi depan cermin supaya suara tidak rosak. Pemakanan pun penting bagi seorang penyanyi.

“Ironi, saya pernah berasa bimbang hilang suara selepas lama tidak menyanyi. Tambahan pula, selepas melahirkan anak bongsu, saya dapat rasakan keadaan itu.

“Sebab itu saya latih diri hari-hari. Alhamdulillah saya masih mampu menyanyi dengan baik walaupun lagu Pernah Bahagia bernada tinggi,” katanya yang popular menerusi lagu Langit Ketujuh.

Tumpang populariti

Pernah Bahagia disiapkan sekitar Disember tahun lepas, manakala klip video rasmi lagu berkenaan pula sudah dilancarkan pada tanggal 10 Mei lalu.

Apa yang menarik perhatian peminat adalah kemunculan istimewa penyanyi pujaan ramai Zamani dalam klip video tersebut.

Ditanya tentang pemilihan vokalis kumpulan Slam itu sebagai pelakon, Sharifah Zarina ada alasan tersendiri.

“Pilihan tentang pelakon memang ramai termasuklah nama Fattah Amin. Tetapi saya sedar diri, bukannya masih muda. Jadi, lebih sesuai ambil pelakon yang berumur sedikit.

“Kemudian saya pilih Zamani. Alhamdulillah, dia memberikan respons yang sangat cepat. Selain kami memang berkawan dan kenal rapat, salah satu sebab mengapa saya pilih dia kerana sebelum ini kami pernah ada lagu duet berjudul Tak Keruan.

“Sayangnya, pada waktu itu kami tiada peluang untuk buat klip video rasmi. Bagi saya inilah peluang untuk merealisasikannya walaupun dalam lagu lain,” ujarnya.

Bagaimanapun difahamkan, komen-komen yang singgah dalam YouTube klip video rasmi lagu berkenaan kebanyakannya terdiri daripada peminat tegar Zamani.

Ada antaranya yang meninggalkan komen dan mengakui hanya mahu menyaksikan penyanyi pujaan mereka berlakon.

Ditebak apakah situasi sedemikian yang sedikit menenggelamkan pengaruh pemilik lagu tersebut, ini jawapan Sharifah Zarina: “Sebelum single ini jadi lagu tema drama lagi, saya sudah bersedia dengan komen sebegitu sebab semua tahu Zamani mempunyai ramai peminat setia.

“Alhamdulillah sekarang saya sudah buktikan bahawa peminat yang datang menonton klip video itu adalah disebabkan nyanyian saya dan drama Utusan Cinta Buat Adam, bukan untuk Zamani semata-mata,” jelasnya yang pernah muncul sebagai peserta dalam program Gegar Vaganza musim pertama pada 2014.

Pernah timbul perasaan mengalah dan mahu mengundurkan diri daripada radar industri muzik gara-gara berasa sudah tidak relevan, mimpi ngeri Sharifah Zarina terhapus selepas pertemuannya dengan komposer Sharon Paul. Lembaran baharu karier kini terbentang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini