SEORANG anak soleh bukan sahaja menghargai kedua ibu bapanya ketika masih hidup, tetapi terus memberi manfaat kepada mereka walaupun selepas kematian.

Kebanyakan anak tidak mengetahui cara menghargai kematian ibu bapa sedangkan ibu bapa sentiasa mengharapkan pahala dan kebaikan daripada anak-anak.
Antara yang kerap dilakukan oleh anak-anak adalah dengan menziarahi kubur, membersihkan kubur dan membaca al-Quran. Selain itu, kebanyakan anak-anak juga memilih untuk membuat kenduri dan majlis tahlil.
Walaupun usaha tersebut adalah baik dan terpuji, namun alangkah lebih baik jika wang itu digunakan untuk sedekah jariah seperti membina masjid, surau, pondok wakaf, menderma buku dan al-Quran.
Ini kerana menurut Saat Sulaiman dalam buku tulisannya ‘Melakar Syurgawi Idaman’ memberitahu sedekah jariah akan memberi pahala berterusan dan berpanjangan kepada ibu bapa.
“Selagi masjid digunakan dan al-Quran dibaca, maka pahala akan terus diperoleh ibu bapa.
“Jika menganjurkan majlis kenduri dan memberi makanan kepada orang ramai, ia akan menghasilkan pahala yang bersifat sementara,” tulisnya dalam buku itu.
Justeru, beliau menasihati agar anak-anak supaya memperbanyakkan sedekah jariah agar pahala berpanjangan dan memberi manfaat kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.
Pun begitu, anak-anak yang soleh digalakkan memberi sedekah dengan niat pahala kepada ibu bapa.











