Lebih 140 kucing terbaik di Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 - Utusan Malaysia

Lebih 140 kucing terbaik di Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 18 Julai – Lebih 140 kucing terbaik daripada pelbagai baka di rantau ini akan ditampilkan dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 yang berlangsung di Stadium Tertutup di Gong Badak dekat sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, selain Malaysia, penyertaan turut membabitkan kucing dari Thailand, Indonesia dan Turki.

Katanya, program bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan itu cukup istimewa kerana idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kehadiran Sultan dan Sultanah Terengganu bersama anakanda, Tengku Muhammad Ismail yang berkenan berangkat pada hari pertama penganjuran acara ini sekali gus bakal memeriahkan lagi Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pelancongan Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Program anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Terengganu dan Asian Abyssinian Cat Club itu akan diadili oleh 10 hakim dan juri antarabangsa dari China, Hong Kong, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat.

Ariffin memberitahu, penganjuran program seumpama itu secara tidak langsung menjadi platform buat kerajaan negeri dalam merancakkan usaha mempromosikan kempen Beautiful Terengganu, Malaysia sekali gus mewujudkan kerjasama pelancongan yang boleh dimanfaatkan semua pihak.

Katanya, dalam masa sama ia mampu memberikan persepsi positif kepada agenda transformasi negeri untuk memperkasakan lagi produk dan destinasi pelancongan negeri.

“Kerajaan negeri turut bermurah hati untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada juri pertandingan ke aktiviti lawatan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu selepas program berakhir. Walaupun masa agak suntuk, tetapi lawatan itu adalah mukadimah dalam memperkenalkan keunikan negeri yang seterusnya akan menarik kehadiran mereka ke sini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, setiausaha pertunjukan tersebut, Norizan Mahmud berkata, kesemua kucing berkenaan akan bersaing dalam empat kategori yang dipertandingkan iaitu championship, premiership, kitten dan household pet.

“Menariknya, acara ini bukan hanya disertai kucing pedigree kerana kita turut membawa kucing-kucing kampung bagi kategori household pet.

“Pertandingan ini dilesenkan di bawah The Cat Fanciers’ Association (CFA) yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan tujuan utamanya adalah untuk mengumpul mata bagi memperolehi gelaran tertentu buat kucing-kucing tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini