KOTA BHARU 18 Julai – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan menyelaras dan menyeragamkan semua aktiviyi mencegah jenayah di seluruh negara bermula September ini.
Naib Pengerusinya Kamal Affandi Hashim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua usaha untuk membanteras jenayah dapat diadakan dengan lebih berkesan disamping memberikan kesedaran kepada seluruh anggota masyarakat.
Beliau berkata, ini adalah selaras dengan perlembagaan MCPF yang berperanan menganjurkan, menyelaras dan menggalakkan aktiviti pencegahan jenayah dan pemulihan pesalah di negeri masing-masing.
“Kita mempunyai modul baharu – Pencegahan Jenayah Pemulihan dan Pencelahan – yang memberi fokus untuk mendekati dan memberikan kesedaran kepada masyarakat secara berilmiah serta tersusun.
“Modul itu mengandungi intipati undang-undang, peranan pencegahan dengan relevan semasa kerana sebelum ini penyelarasan tidak dilakukan di semua negeri,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Sijil Pelantikan Ahli Jawatankuasa MCPF Kelantan di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi MCPF negeri, Datuk Abdul Aziz Nawi.
Kamal Affandi berkata, pendekatan itu melibatkan aktiviti dan program membabitkan golongan belia, wanita dan kanak-kanak khususnya dalam memerangi jenayah siber yang menjadi ancaman terbaru dalam masyarakat sekarang.
Katanya, selain itu, MCPF negeri digalakkan bekerjasama dengan mana-mana organisasi, agensi atau badan ke arah mencapai objektif yang ditetapkan. – UTUSAN ONLINE











