KUALA LUMPUR 18 Julai – Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mempelawa orang ramai khususnya penduduk yang menetap di kawasan pihak berkuasa tempatan itu untuk mengemukakan permohonan sewaan premis perniagaan sebelum 29 Julai ini.
MDKL memaklumkan, borang permohonan sewaan boleh didapati di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDKL.
“Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar melalui serahan tangan di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDKL berserta bayaran yuran proses berjumlah RM10.
“Pemohon dinasihatkan untuk sertakan dokumen yang diperlukan antaranya salinan kad pengenalan, gambar berukuran pasport, salinan pendaftaran perniagaan, salinan penyata kewangan, gambar produk atau kertas cadangan dan salinan bil air atau elektrik atau telefon,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ujarnya, masih terdapat satu kekosongan premis iaitu sebuah bangunan tiga tingkat di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini dengan kadar sewaan RM15,000 ditawarkan kepada pemohon. – UTUSAN ONLINE











