LPP bantu peladang wanita - Utusan Malaysia

LPP bantu peladang wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 18 Julai – Peladang wanita yang menghasilkan pelbagai produk di bawah jenama Peladang akan mendapat manfaat menerusi Program Pembangunan Usahawan Peladangnita yang berfokuskan pelbagai strategi komersial.

Ketua Pengarah Lembaga Petubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim berkata, seramai 570 peladang wanita seluruh negara akan dikumpulkan di menara LPP Kuala Lumpur pada 23 Julai ini untuk mengikuti program pembangunan industri asas tani yang disediakan secara khusus.

Menurutnya, mereka akan mengikuti seminar dan simposium yang memberi ilmu serta nilai tambah untuk meningkatkan produk hiliran yang dihasilkan berasaskan hasil pertanian yang diusahakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini termasuk berpeluang mendapat promosi komersial dalam dan luar negara, pendedahan mengenai teknologi pembungkusan, strategi pemasaran dan sebagainya.

“Berpeluang mendekati rakan industri perniagaan termasuk pasar raya besar dan bimbingan serta pembiayaan pinjaman mudah dari Agro Bank atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tiga Daerah, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah LPP negeri, Nik Saharil Nik Md. Hassan.

Azulita berkata, LPP juga akan menggerakkan kesemua Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian secara aktif dan memastikan usaha menjenamakan PPK kluster akan tercapai menerusi pelbagai program pertanian moden dan berpusat.

“Kita juga menyahut seruan Perdana Menteri melaksanakan projek penyatuan tanah bagi memastikan projek pertanian yang dilaksanakan dalam skala yang lebih besar dengan produktiviti hasil yang lebih berkuantiti.

“Projek seumpama ini telah dilaksanakan oleh PPK Tiga daerah yang menyatukan usaha ahli peladangnya di bawah satu estet tanaman padi dengan infrastruktur yang mencukupi serta menghasilkan kejayaan yang membanggakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini