PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan lmigresen Malaysia akan melaksanakan Program Pendatang Asing Tanpa lzin (PATI) Pulang Ke Negara Asal atau Program Back For Good bagi memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut membuka ruang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta lmigresen 1959/63 (Akta 155) termasuk Seksyen 15 (1)(c) iaitu tinggal Iebih masa dan Seksyen 6(1)(c) tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Jelasnya, program tersebut telah mendapat kelulusan dari Pejabat Peguam Negara dan akan bermula dari 1 Ogos hingga 31 Disember ini.
“Bayaran kompaun sebanyak RM700 dikenakan bagi setiap warga asing yang menyertai program ini dan mereka yang terlibat perlu membawa dokumen perjalanan yang sah seperti pasport, sijil perjalanan kecemasan dan tiket untuk pulang ke negara asal mereka dalam tempoh tujuh hari.
“Kita menjangkakan seramai 300,000 hingga 400,000 warga asing akan mengambil peluang sepanjang tempoh lima bulan program ini dijalankan sebelum tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, program tersebut akan dijalankan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia sahaja tanpa penglibatan pihak ketiga iaitu vendor atau ejen.
Jelasnya, bagi tujuan itu, Jabatan Imigresen telah menyediakan Iebih 80 kaunter di Pejabat lmigresen seluruh Semenanjung bagi menjayakan program berkenaan.
Ujarnya, Jabatan Imigresen telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak kedutaan asing di Malaysia pada 12 Julai lalu dan satu taklimat mengenai program telah diadakan.
“Pihak kedutaan asing berkenaan diharap memberi kerjasama sepenuhnya dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada rakyat masing-masing yang menyertai program tersebut.
“Jabatan Imigresen juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 Julai lalu dan penyelarasan tindakan dibuat bagi memberi peluang kepada PATI yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah hadir ke pejabat jabatan tersebut untuk menyertai program ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru menyeru kepada semua warga asing supaya mengambil kesempatan ini untuk pulang ke negara asal atau berhadapan dengan tindakan undang-undang jika masih berdegil.
Tambahnya, penguatkuasaan akan terus dijalankan secara agresif bagi memburu PATI dan mana-mana individu yang bersekongkol dengan mereka. – K! ONLINE











