MERSING 18 Julai – Seorang lelaki yang terjun ke laut berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini sebelum hilang semalam ditemukan mayatnya oleh pihak bomba kira-kira pada pukul 9 pagi ini.
Menurut Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Pegawai Bomba Mohd. Alias Husin, mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa terjun.
“Pihak bomba mengambil mayat mangsa dengan menggunakan bot nelayan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Tiada maklumat identiti mangsa ditemui pada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Alias berkata, sebelum itu Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 12.16 tengah hari semalam dan seterusnya menghantar satu jentera dan lapan anggota dari BBP Endau.
operasi mencari dan menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pukul 9.21 pagi dan motif mangsa terjun ke laut masih dalam siasatan. -UTUSAN ONLINE











