PUTRAJAYA 18 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen akan melaksanakan Program Pendatang Asing Tanpa lzin (PATI) Pulang Ke Negara Asal bagi memberi peluang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta lmigresen 1959/63 (Akta 155) untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesalahan PATI di bawah Akta 155 itu meliputi Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal Iebih masa dan Seksyen 6(1)(c) tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, program itu telah mendapat kelulusan dari Pejabat Peguam Negara dan akan bermula dari 1 Ogos depan hingga 31 Disember 2019.
“Bayaran kompaun sebanyak RM700 sahaja dikenakan bagi setiap warga asing yang menyertai program ini. Warga asing terlibat hendaklah membawa dokumen perjalanan yang sah iaitu pasport dan sijil perjalanan kecemasan serta tiket untuk pulang ke negara asal dalam tempoh tujuh hari.
“Program ini akan dijalankan sepenuhnya oleh Jabatan lmigresen di Semenanjung Malaysia sahaja tanpa penglibatan pihak ketiga (vendor atau ejen). Jabatan telah menyediakan Iebih 80 kaunter di Pejabat lmigresen seluruh Semenanjung bagi menjayakan program ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, Jabatan Imigresen telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak kedutaan asing di Malaysia pada 12 Julai lalu dan satu taklimat mengenai program telah diadakan.
Pihak kedutaan asing berkenaan tambahnya, diharap memberi kerjasama sepenuhnya dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada rakyat masing-masing yang menyertai program tersebut.
Beliau memberitahu, Jabatan Imigresen juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 Julai lalu dan penyelarasan tindakan dibuat bagi memberi peluang kepada PATI yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah hadir ke pejabat Jabatan Imigresen untuk menyertai program tersebut.
“Justeru, saya menyeru kepada semua warga asing supaya mengambil kesempatan ini untuk balik ke negara asal atau berhadapan dengan tindakan undangundang jika masih berdegil.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan secara agresif bagi memburu PATI dan mana-mana individu yang bersekongkol dengan mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE











