PUTRAJAYA 18 Julai – Kerajaan diminta memperuntukkan dana RM1 bilion kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran keputusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, malah kerajaan juga perlu mewujudkan pejabat SPR di daerah dalam memudahkan urusan pilihan raya di negara ini.
“Jika ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), SPR memperuntukkan RM500 juta untuk proses perjalanan pilihan raya yang ketika itu membabitkan jumlah pengundi 14.95 juta dan 240,000 petugas.
“Dijangka PRU-15 akan melibatkan peningkatan jumlah pengundi sehingga 22.5 juta dengan pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik, maka kedua-dua perkara ini perlu dihalusi,” katanya dalam ‘Forum Make A Change, Let’s Do It Together’ anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pula menjelaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menambah perjawatan di SPR.
Selain itu, katanya SPR dan agensi kerajaan lain perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal sebelum melaksanakan pendaftaran automatik pengundi umur 18 tahun.
Katanya, isu alamat merupakan masalah yang masih belum diselesaikan sehingga kini memandangkan masih terdapat pengundi belum menukar alamat walaupun telah berpindah ke tempat lain.
“SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara perlu melihat perkara ini agar isu teknikal tidak timbul sewaktu pilihan raya berlangsung,” katanya.
Pada Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
RUU itu mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.
Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh SPR dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.
Turut dipinda dalam RUU itu untuk menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun. -UTUSAN ONLINE











