PUTRAJAYA 18 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, fungsi tugas dan tanggungjawab setiausaha politik adalah untuk membantu menteri mendekati rakyat, bukan terlibat dalam pengagihan kontrak.
Justeru Perdana Menteri berkata, terdapat keperluan bagi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk membincangkan fungsi tugas dan tanggungjawab setiausaha politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas di kementerian.
“Pada mulanya setiausaha politik dicadangkan supaya menolong menteri menghubungi rakyat dalam kawasannya dan kawasan lain, tetapi sekarang ini kita dapati dalam kes yang berlaku pada kerajaan lepas, mereka terlibat dalam agihan kontrak dan ini bukan tugas setiausaha politik.
“Sebab itu kita kembali kepada tanggungjawab setiausaha politik sebagai perantaraan antara menteri dan rakyat di dalam kawasannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat JKKMAR dan pelancaran aplikasi telefon pintar generasi kedua, Respons Rakyat (RR 2.0), di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Dr. Mahathir berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat siri ke-9 JKKMAR yang dipengerusikan beliau, hari ini.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, JKKMAR turut bersetuju untuk mewujudkan format dan gerak kerja atau prosedur bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam menjalankan peranannya dalam urusan pelantikan calon ke jawatan penting kerajaan.
Katanya, kerajaan bersetuju terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada jawatankuasa tersebut supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa dapat dikemukakan.
“Sepertimana pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang lalu, saya menggunakan prosedur sedia ada sepertimana yang telah termaktub di dalam akta.
“Selepas ini, terdapat tiga lagi jawatan penting yang tersenarai di dalam akta yang akan menggunakan prosedur lantikan ini iaitu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Kehakiman dan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia ,” katanya.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara antaranya pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tindakan.
Selain itu katanya, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa satu Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi; cadangan skop Akta Perolehan Kerajaan yang akan digubal oleh Kementerian Kewangan; keperluan untuk mempertingkatkan program kesedaran dan latihan antirasuah kepada penjawat awam serta 115 inisiatif yang digariskan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional. -UTUSAN ONLINE











