ALOR SETAR 18 Julai – Penganalis politik menyifatkan hubungan antara dua pemimpin utama PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas ‘terlerai’ serta sukar hendak dipulihkan.
Dr. Rusdi Omar berkata, beliau tidak nampak jalan penyelesaian apabila kedua-keduanya berbalas kenyataan secara terbuka di media massa semalam.
Kata beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), apatah lagi apabila Mohamed Azmin ‘menyerang’ presiden partinya.
“Jika sebelum ini, mereka (Mohamed Azmin dan Anwar) masih boleh ‘menyembunyikan’ persengketaan sesama sendiri, tetapi kini saya lihat masalah hubungan kedua-duanya sudah terlerai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Rusdi seterusnya berpendapat, peletakan jawatan sementara adalah cara terbaik dan bermaruah bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci terhadap Mohamed Azmin.
Katanya, seterusnya kes itu boleh dibawa ke mahkamah bagi membersihkan nama Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
“Sekiranya, akhirnya nanti didapati (Mohamed) Azmin tidak bersalah, beliau boleh menjawat jawatan Kabinet semula.
“Langkah (meletakkan jawatan) itu juga bagi memastikan Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bebas daripada anggota yang tidak berintegriti dan bermoral jika (Mohamed) Azmin didapati bersalah sebagai pelaku dalam video intim,” katanya.
Semalam, Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu, yang pernah suatu ketika dahulu begitu akrab saling berbalas kenyataan secara terbuka, dengan Anwar meminta Mohamed Azmin meletak jawatan jika video intim membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut tulen.
Mohamed Azmin walau bagaimanapun membalas kenyataan itu dengan meminta agar Anwar cerminkan diri terlebih dahulu. -UTUSAN ONLINE











