KUALA SELANGOR – Lari tinggalkan sisa sampah plastik dan kumbahan merupakan tindakan dilakukan penyewa kilang memproses sisa plastik haram di sekitar daerah ini.
Sikap tidak bertanggungjawab itu dapat diperhatikan menerusi operasi bersepadu terhadap enam buah kilang bermula pukul 10 pagi yang diketuai oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).
Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan MDKS, Lokman Ujang berkata, penyewa kilang memproses sisa plastik haram didapati mengambil jalan pintas selepas kerajaan negeri Selangor melarang sebarang operasi kilang memproses sampah plastik bermula tahun lalu.
Katanya, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan notis penutupan dan membersihkan keseluruhan sisa plastik haram sebulan yang lalu.
“Namun, berdasarkan pemerhatian dan risikan mendapati mereka masih berdegil dan kita menerima banyak aduan berkaitannya daripada penduduk.
“Justeru, enam buah kilang di kawasan perindustrian Ijok, Bestari Jaya dan Jeram telah dikenakan tindakan penutupan dengan bekalan air dan elektrik dipotong oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan kilang-kilang tersebut telah dibuka di kawasan ladang sejak setahun lalu.
Ujar beliau, daerah ini dikatakan menjadi tumpuan pengusaha kilang tersebut selepas kilang lama mereka di sekitar Kuala Langat dan Klang telah diserbu pihak berkuasa.
“Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Kuala Selangor 2007,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wakil pemilik kilang yang dikenali Tan menjelaskan premis itu telah disewa pengusaha kilang memproses sisa plastik dengan kadar sewaan RM35, 000.
“Kami tidak mengetahui bahawa mereka ini tidak berlesen semasa beroperasi dan pengusaha kilang itu telah melarikan diri begitu sahaja sejak sebulan lalu.
“Sudah tentu, kami amat kecewa susulan sisa plastik, sisa kumbahan dan mesin di biarkan begitu sahaja dengan pihak kami terpaksa menanggung kosnya bagi tujuan pembersihan,” dakwanya. – K! ONLINE












