BESUT 18 Julai – Durian kampung Terengganu yang memiliki rasa manis, lemak serta isinya yang tebal bukan sahaja setanding malah ada yang lebih baik berbanding durian Segamat, Johor dan Raub, Pahang yang menjadi sebutan ramai sebelum ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Fauzi Mohamed berkata, beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Kampung Pengkalan Sentul, Jertih dan Keruak, Hulu Besut di sini telah dikenal pasti sebagai kawasan pengeluaran raja buah itu.
Katanya, keistimewaan buah durian kampung yang diusahakan oleh penduduk tempatan itu akan ditonjolkan kepada umum semasa program ‘Durian Day’ yang akan diadakan di pekarangan Pejabat FAMA negeri pada 7 Ogos depan.
“Awal bulan depan merupakan kemuncak pengeluaran durian di negeri ini yang sedikit lewat berbanding di Pahang, Johor dan Kedah, namun kita jangka semasa program Durian Day, sebanyak 30 hinggga 40 tan metrik durian akan dijual kepada orang ramai,” katanya.
Beliiau berkata demikian semasa program Jelajah Durian Day Dari Ladang Ke Pasaran di sebuah kebun durian milik usahawan, Kamarudin Che Omar di Kampung Pengkalan Sentul di Jertih dekat sini semalam.
Fauzi berkata, pengunjung berpeluang mendapatkan durian kampung dan klon pada harga istimewa iaitu antara lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga semasa selain buah-buahan tempatan seperti manggis.
“Buah durian kampung akan dijual dengan harga RM20 untuk satu beg plastik yang mengandungi beberapa biji durian bergantung kepada bekalan yang diterima dan harga tersebut dikira sudah murah dan mampu dibeli orang ramai,” ujarnya.
Dengan perkembangan itu, katanya, tidak akan berlaku lambakan buah durian di negeri ini pada tahun ini, malah harga durian turut dijangka tidak akan jatuh di bawah RM3 sekilogram dan akan berada di paras harga antara RM4 hingga RM5 sekilogram. -UTUSAN ONLINE











