PULAU PINANG 18 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin mempertahankan kenyataan beliau berhubung 4,733 sesi temu tembung yang dilakukan berkait rancangan projek tambak laut di perairan selatan (PSR) di negeri ini.
Menurut Afif, sesi itu melibatkan responden sama ada dari segi tinjauan, dialog awam, sesi penerangan dan sebagainya bagi membantu kerajaan negeri mengenal pasti segala keluhan dan keresahan rakyat.
Katanya, ia juga merupakan bukti kepada rakyat yang mana kerajaan negeri ada melakukan proses temu tembung sebelum laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek PSR lengkap.
Tegas beliau, projek PSR itu diputuskan dengan mengambil kira semua pemegang taruh yang terlibat dengan PSR secara langsung atau tidak langsung.
“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Taskforce Nelayan akan berunding dengan setiap individu nelayan dan persatuan nelayan di seluruh negeri Pulau Pinang dengan mengadakan perbincangan dengan mereka.
“Ini adalah amat penting dalam kerajaan negeri membuat keputusan tentang cara pelaksanaan pembinaan PSR kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Penang Tolak Tambak mempersoal kenyataan Afif menerusi laman sosial Twitternya yang mendakwa sebanyak 4,733 sesi temu tembung diadakan bersama penduduk setempat khususnya nelayan berkenaan rancangan projek tambak laut sejak 2016.
Menurut wakil jawatankuasa itu yang juga aktivis alam sekitar, Khoo Salma Nasution, angka tersebut sangat mustahil dan tidak mungkin berdasarkan matematik dan logik mudah.
Sementara itu, Afif menegaskan, kerajaan negeri akan mematuhi sebanyak 72 syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Dalam masa sama, kata beliau, perkara itu akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang akan dipengerusikan beliau sendiri. -UTUSAN ONLINE











