MELAKA – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan seorang guru di parkir sebuah pusat beli-belah pada minggu lalu.
Tertuduh, Lim Wee Kiat, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas harta milik Nurfatin Azlina Hamzah, 30, dan ketika melakukan jenayah tersebut dia dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2.30 petang di tempat letak kenderaan B2 Lane 3, Aeon Bandaraya Melaka pada 10 Julai lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban memohon tertuduh dirujuk ke hospital psikiatrik ekoran tertuduh didapati mempunyai rekod rawatan mental dan tarikh baru bagi serahan laporan kesihatan tersebut.
Norma kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE











