KUANTAN 18 Julai- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 3,191 karton rokok seludup pelbagai jenama yang keseluruhannnya dianggarkan bernilai RM301,245.
Komandernya, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan itu menerusi dua serbuan dilokasi berbeza iaitu di Kampung Janglau dan Kampung Tanjung Gemok di Rompin dekat sini semalam.
Katanya, dalam serbuan pertama di Kampung Janglau, PPM Wilayah Tiga telah merampas 251 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM22,674.46.
“Antara rokok yang dirampas adalah Diplomat Impact (26 karton), Touro International (17 karton), L.A Light (10 karton), Djarum Super (tiga karton, John White (enam karton) dan Gudang Garam Nusantara sebanyak 12 karton.
“Turut dirampas rokok jenama Canyon Merah (tujuh karton), Quest Bold (14 karton), John 17G (19 karton), L.A Bold (empat karton), John D Blend (12 karton), U2 Full Flavor (12 karton) dan Gudang Garam Surya (20 karton),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Norzaid berkata, dalam serbuan kedua di Kampung Tanjung Gemok, sebanyak 2,940 karton rokok jenama antarabangsa REXO dirampas yang dianggarkan bernilai RM278,570.88 termasuk cukai.
Katanya, kesemua rokok yang dirampas dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga di Tanjung Gemok untuk tindakan lanjut.
“Laporan polis berhubung rampasan itu telah dibuat dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya. -UTUSAN ONLINE











