KUALA LUMPUR 18 Julai – Maybank melanjutkan perkongsian jenama bersama serantau dengan Manchester United FC selama lima tahun meliputi Malaysia, Singapura dan Filipina
Perjanjian itu yang akan diteruskan mulai musim 2019-2020, menjadikan Maybank sebagai satu daripada rakan kongsi Perkhidmatan Kewangan paling lama Manchester United di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, kelab tersebut mempunyai hampir 22 juta pengikut di ketiga-tiga negara dan kini mereka boleh memanfaatkan keistimewaan yang ditawarkan oleh kad kredit dan kad debit Maybank Manchester United.
“Kad kredit Maybank Manchester United menerima sambutan baik di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan yang sihat sebanyak 12 peratus pengguna kad dan 15 peratus bil kad tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pembaharuan perkongsian ini mencerminkan kejayaan dalam membantu Maybank untuk berinteraksi dengan para pelanggannya secara lebih dekat di pasaran utama dan meningkatkan kesedaran jenama globalnya.
Maybank percaya bahawa hubungan ini akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan profil globalnya dan menyokong pertumbuhan perniagaan produk kad kredit dan kad debitnya. – UTUSAN ONLINE











