12 petinju profesional Muay Thai akan bertarung di Terengganu - Utusan Malaysia

12 petinju profesional Muay Thai akan bertarung di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Seramai 12 petinju profesional Muay Thai akan bertarung pada kejohanan ‘Terengganu Fight’ 2019 anjuran Persatuan Muay Thai Negeri Terengganu (PMTNT) pada 2 Ogos ini.

Presiden PMTNT Najmi Abdullah berkata kejohanan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan kerajaan negeri itu akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak bermula 9 malam dan tiada bayaran masuk dikenakan terhadap penonton.

Beliau berkata antara petinju yang akan beraksi adalah Felipe Lobo Amantha dari Brazil, Rungravee Sasiprapa dari Thailand, Ayoub Sadam Sergama dari Algeria dan Latxasak Souliyavong dari Laos.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu kita turut menampilkan kapten pasukan Muay Thai Malaysia kelahiran Terengganu Muhamad Ali Yaakub dan juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Ain Kamaruddin yang akan menghangatkan lagi perlawanan.

“Kejohanan ini adalah yang kedua selepas penganjuran pertama tahun lalu yang berjaya menarik kira-kira 4,000 penonton dengan membawa ‘living legend’ Muay Thai, Saenchai sebagai tarikan utama.

“Enam kategori akan dipertandingkan dengan tumpuan utama kepada perlawanan antara petinju jemputan iaitu Felipe dan Rungravee,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Najmi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) berkata antara tujuan penganjuran kejohanan ini ialah bagi menarik minat lebih ramai anak muda menceburi sukan Muay Thai seterusnya melahirkan pelapis yang boleh diangkat ke peringkat dunia.

Justeru, beliau bercadang untuk mengadakan pertandingan Muay Thai amatur di setiap daerah di negeri ini bagi mencungkil bakat-bakat baharu di samping mempromosi sukan ini kepada penduduk tempatan.

“Kita harap kemasukan secara percuma ke stadium akan menarik lebih ramai penonton.

“Walaupun berdepan pelbagai kesukaran untuk menganjurkan kejohanan ini terutama daripada segi penajaan, ia satu sukan yang berbaloi diperjuangkan,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini