Ibarat saingan mini AFF Suzuki - Utusan Malaysia

Ibarat saingan mini AFF Suzuki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARIMAU Malaya dilihat berpeluang cerah untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023 selepas diundi dalam Kumpulan G bersama tiga negara jiran iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam selain pasukan pilihan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam.

Ketua Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui agak terkejut apabila melihat undian tersebut, selain percaya Kumpulan G boleh dianggap seperti saingan mini Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki.

“Semua pihak tidak menjangka empat pasukan Asia Tenggara diundi dalam kumpulan sama dan ia bagaikan saingan mini Piala AFF Suzuki. Saya tidak pasti sama ada mereka (Indonesia, Thailand, Vietnam) turut gembira dengan undian ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka akan turunkan barisan terbaik dan kita juga akan buat perkara sama dalam misi meraih keputusan positif. Mungkin ada kelebihan apabila bertemu dengan pasukan Asia Tenggara iaitu jarak perjalanan selain perbezaan masa yang tidak terlalu ketara.

“Secara keseluruhan, kami tetap tidak boleh memandang mudah dengan undian ini memandangkan UAE ialah pasukan terbaik yang perlu diberikan perhatian,” katanya ketika ditemui selepas tamat undian yang berlangsung di Ibu Pejabat AFC, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, hanya juara serta empat naib juara terbaik setiap kumpulan akan meraih tiket automatik ke saingan Piala Asia 2023 di China nanti, manakala empat lagi baki naib juara serta empat pasukan terbaik di tempat ketiga akan beraksi pada pusingan kelayakan terakhir.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui persiapan perlu dilakukan sekarang memandangkan skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan musuh tradisi, Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September depan.

“Perancangan serta persiapan awal perlu dilakukan sebagai persediaan memandangkan kita akan mengharungi aksi pertama yang cukup penting iaitu menentang Indonesia di gelanggang lawan.

“Semua orang tahu suasana beraksi di Stadium Gelora Bung Karno, walaupun skuad Harimau Malaya pernah meraih beberapa keputusan positif di sana. Namun, saya mahu setiap pemain yang terpilih nanti bersedia secara mental dan fizikal,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan sasaran pada inisiatif F:30 iaitu kelayakan automatik ke Piala Asia 2023 sebagai mandatori buat skuad Harimau Malaya, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2007.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini