Tren kargo tergelincir, landasan Rawang-Kuang terhalang - Utusan Malaysia

Tren kargo tergelincir, landasan Rawang-Kuang terhalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Julai – Sebuah tren kargo dengan muatan simen tergelincir mengakibatkan landasan tunggal di antara Rawang dan Kuang terhalang sepenuhnya dalam kejadian berhampiran Stesen Rawang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.38 petang itu, tren yang dalam perjalanan dari Tasek, Perak menuju ke Sungai Buloh terbalik ketika melalui landasan di Kilometer 356.016 sekali gus menjejaskan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS), KTM Komuter dan KTM Kargo.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, pemandu dan pembantunya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, hanya lapan daripada 30 gerabak dengan muatan simen itu tergelincir manakala 22 gerabak lagi dan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan mengakibatkan semua perkhidmatan tren yang melalui kawasan tersebut terjejas.

“Pihak KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja mengalih gerabak yang terbalik daripada landasan itu bagi memastikan landasan tunggal tersebut boleh dilalui semula oleh tren-tren lain secepat mungkin.

“Satu lagi landasan di laluan itu ditutup sepenuhnya bagi membolehkan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd. Rani, bagi para penumpang KTM Komuter di antara laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim, perkhidmatan itu akan ditamatkan di Stesen Sungai Buloh dan Stesen Serendah.

“KTMB menyediakan bas-bas perantara bagi semua penumpang yang terlibat untuk meneruskan perjalanan ke Sungai Buloh, Rawang dan Serendah dan sebaliknya.

“Penumpang keretapi elektrik (ETS) yang menuju ke destinasi di antara kedua-dua Stesen KL Sentral dan Stesen Tanjung Malim turut disediakan bas-bas perantara untuk meneruskan perjalanan mereka kerana tiada perkhidmatan tren ETS bagi laluan tersebut,” jelasnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.ktmb.com.my atau saluran media baharu rasmi KTMB di Facebook KTM Berhad, Instagram ktmbofficial, Twitter @ktm_berhad atau melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-22661200.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini