Klopp ‘silap’ bimbing Liverpool – Rooney - Utusan Malaysia

Klopp ‘silap’ bimbing Liverpool – Rooney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDIANA – Jurgen Klopp hanya melakukan satu ‘kesilapan’ dalam kariernya iaitu bergelar pengurus Liverpool.

Warga Jerman itu menerajui Liverpool sehingga berjaya memenangi Liga Juara-Juara, musim lalu, setelah Reds terlepas merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris dengan hanya keciciran satu mata.

Klopp sudah tentu berharap skuad bimbingannya mampu memperbaiki pencapaian mereka pada penggal akan datang dengan Liverpool dilihat sebagai pencabar terdekat kepada Manchester City.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelab Anfield itu meneruskan persiapan mereka untuk kempen baru di Amerika Syarikat dengan Klopp dan skuad bimbingannya tiba di Indiana, semalam, menjelang perlawanan menentang Dortmund.

Bagaimanapun, Rooney, yang bermain untuk dua seteru terbesar Liverpool iaitu Everton dan Manchester United, amat berharap jurulatih itu menerajui pasukan lain.

“Jurgen adalah seorang pengurus yang menjadi impian setiap pemain untuk beraksi di bawah terajunya. Anda boleh saksikan bagaimana seronok para pemain beraksi di bawah bimbingannya. Saya pernah bertemu dengannya sekali, dia seorang lelaki yang hebat.

“Satu-satunya kesilapan Jurgen ialah dia bekerja dengan Liverpool dan berjaya di sana. Saya sangat menghormati Jurgen Klopp dan dengan apa yang telah dia capai. Bukan hanya di Liverpool, tetapi juga ketika bersama Dortmund.

“Lelaki ini dapat apa yang dia mahukan dan tahun-tahun terbaik masih menantinya,” kata bekas kapten England itu kepada akhbar Jerman, Bild.

Skuad Liverpool terbang ke Indiana selepas menewaskan Bradford dalam aksi persahabatan pra-musim kedua mereka, Ahad lalu. Turut menyertai skuad Liverpool ialah Virgil van Dijk, Jordan Henderson, Gini Wijnaldum dan Trent Alexander-Arnold yang dijangka diturunkan pada perlawanan menentang Dortmund.

Liverpool bakal beraksi menentang kelab Jerman itu, Sabtu ini dan mereka juga akan menentang Sevilla serta Sporting sepanjang jelajah di Amerika Syarikat.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini