KUALA LUMPUR 17 Julai – Satu lagi sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang berjaya dilumpuhkan selepas polis menahan lima lelaki dalam sebuah operasi di Klang, semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi dijalankan Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas JKDNKA itu, pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai, beberapa kenderaan serta beribu karton rokok.
“Lima lelaki itu merupakan warga tempatan berusia 29 hingga 57 tahun, dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.
“Dalam operasi itu, kita merampas sebanyak 2,710 karton rokok seludup pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM49,040, dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan sebuah Proton Waja serta 87 keping pelekat duti Kastam dipercayai palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, nilai rampasan rokok selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM400,000 menjadikan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM594,040.
Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Ibu pejabat Polis Daerah Klang Selatan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 Julai untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE











