KUALA LUMPUR – Penyerang berbisa skuad hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn kini tidak sabar kembali beraksi selepas mula menunjukkan petanda positif kecederaan pergelangan tangan kiri dialami sewaktu Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland, bulan lalu makin pulih.
Dalam minggu ini Hanis akan melakukan imbasan semula di Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengetahui perkembangan terkini kecederaannya selepas empat minggu.
Hanis berkata, dia dapat berasakan kecederaan itu akan pulih lebih awal terutama apabila sudah boleh melakukan banyak pergerakan berbanding sebelum ini.
“Dalam jadual asal doktor menjangkakan kecederaan ini memerlukan tempoh enam bulan dan saya harapkan keputusan positif apabila melakukan imbasan semula pada minggu ini.
Harapan saya amat tinggi untuk bersama pasukan negara terutama mahu menyertai mereka sewaktu aksi kelayakan Sukan Olimpik nanti.
“Jika kami berjaya beraksi dalam saingan kelayakan itu, maka ia akan menjadi satu pencapaian terbaik buat pasukan wanita, malah saya percaya semua pemain bakal memberikan aksi sepenuh tenaga nanti,” katanya.
Hanis adalah antara tonggak utama Malaysian Tigress, malah pernah menempa sejarah apabila dinobatkan sebagai Pemain Harapan Terbaik Asia 2016.
Anugerah diterima penyerang itu mengatasi beberapa bintang muda daripada pasukan utama Asia yang pernah beraksi di pentas Olimpik seperti India, China, Korea Selatan dan Jepun untuk muncul pemain wanita pertama Malaysia memenangi anugerah AHF.- UTUSAN ONLINE











