ALOR SETAR – Semua pihak diminta menilai dari sudut positif berhubung tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan pengadil dari Jepun dalam aksi final Piala FA nanti.
Sambil mengucapkan tahniah kepada FAM, Pengurus Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Al-Nalik Hasmi Abu Hassan berkata, apatah lagi kualiti pengadil dari negara itu terkenal dan bertaraf dunia.
Tanpa menidakkan kualiti pengadilan tempatan, beliau menganggap penggunaan pengadil dari luar adalah seperti mana kemasukan pemain-pemain import dalam liga bola sepak negara.
“Kemasukan pemain import telah membantu corak pemain tempatan dan begitu juga dalam soal sistem pengadilan.
“Kalau hendak katakan pengadil tempatan tidak berkualitipun adalah tidak adil kerana (pengadil) kita turut diiktiraf di peringkat dunia, cuma ada perkara yang boleh kita belajar daripada Jepun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md. Dali Wahid berkata, penggunaan pengadil import dalam final Piala FA di antara Kedah menentang Perak pada 27 Julai ini tidak memberi impak besar dalam menaikkan mutu pengadilan tempatan.- UTUSAN ONLINE











