KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mahu memastikan skuad Harimau Malaya melepasi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Dunia 2023 yang dijadual bermula pada 5 September hingga 9 Jun 2020.
Undian kali ini menyaksikan Malaysia berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan akhir Piala Asia di China 2023 apabila pasukan bimbingan Cheng Hoe itu diundi dalam Kumpulan G bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tiga lagi negara dari rantau zon Asia Tenggara iaitu juara Piala AFF 2018, Vietnam diikuti Thailand dan Indonesia.
Bekas jurulatih Kedah itu berkata, dia tidak menyangka apabila menyaksikan empat pasukan dari rantau yang sama diletakkan dalam satu kumpulan, bagaimanapun, Cheng Hoe enggan berasa terlalu selesa sebaliknya menegaskan peluang sama rata terhadap setiap pasukan.
“Memang satu kejutan sebab saya tidak jangka empat negara Asean bermain dalam satu kumpulan. Sudah macam mini Piala AFF pula.
“Bagaimanapun, undian ini bukan mudah. Saya fikir Vietnam, Thailand dan Indonesia mungkin rasa gembira tetapi kita semua tahu UAE pasukan paling kuat dalam kumpulan ini.
“Kami perlu bersedia kerana apabila sebut tentang kelayakan semua jurulatih mahu mendapatkan keputusan terbaik. Penting untuk pemain bersedia bagi aksi pertama kerana kita akan menentang Indonesia (5 September) di tempat lawan dan pastinya aksi tersebut panas,” katanya kepada pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), hari ini.- UTUSAN ONLINE











