TIBA-TIBA Wan Ji Wan Hussin (Wan Ji) menarik perhatian ramai apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadapnya terlalu keras dan ‘sesuatu yang malang’.
Ia diikuti kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang antara lain menyeru supaya dia dilepaskan. Badan-badan hak asasi manusia, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu turut mengecam hukuman tersebut sebagai terlalu berat, menuntut Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan menuntut Peguam Negara, lebih tepat Pendakwaraya memberi penjelasan mengapa beliau merayu terhadap hukuman Mahkamah Sesyen.
Daripada apa dilaporkan oleh media massa yang diketahui ialah Wan Ji, seorang pendakwah bebas telah dihukum penjara setahun kerana menghina Sultan Selangor di bawah Akta Hasutan 1948.
Siapa dalam kalangan mereka yang membuat komen atau tuntutan itu membaca penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen yang membicarakan kes tersebut? Mungkin seorang pun tidak. Siapa dalam kalangan mereka yang tahu kata-kata yang ditulis oleh Wan Ji yang menjadi asas pertuduhan itu? Mungkin tidak ada. Siapa dalam kalangan mereka yang tahu peruntukan sebenar seksyen di bawahnya dia dituduh dan sejarah seksyen itu?

Sebelum kita berkata hukuman itu terlalu berat, kita perlu tahu fakta kes berkenaan; seksyen di bawahnya Wan Ji dituduh; hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak; alasan-alasan diberi oleh hakim yang membicarakan kes itu; hakikat bahawa dalam kes itu, Pendakwaraya merayu supaya hukuman Hakim Mahkamah Sesyen itu ditambah kerana hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terlalu ringan pada pandangan Pendakwaraya dan alasan-alasan yang diberi oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam mengesahkan sabitan tersebut dan menambah hukuman penjara kepada satu tahun.
Mengatakan bahawa hukuman itu terlalu keras atau terlalu berat hanya setelah mendengar hukuman satu tahun kerana menghina sultan bukanlah cara yang betul untuk menilai sesuatu hukuman.
Dalam rencana ini, saya tidak akan membincangkan sama ada pensabitan Wan Ji itu betul atau tidak dan sama ada hukuman tersebut sah atau tidak dan patut atau tidak kerana rayuan ke Mahkamah Rayuan masih belum selesai. Ini untuk mengelak daripada mengganggu perbicaraan kes tersebut yang mungkin menjadi satu kesalahan menghina mahkamah.
Tuntutan supaya Wan Ji dibebaskan mungkin melanggar prinsip itu. Dua peringkat mahkamah mendapati dia bersalah dan hukuman telah ditambah. Itu adalah perintah mahkamah yang berkuat kuasa pada masa ini. Jabatan Penjara tidak boleh ‘melepaskannya’. Pendakwaraya tidak boleh menggunakan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan seperti yang dilakukannya dalam kes Lim Guan Eng kerana pendakwaan telah selesai dan mahkamah telah memberi penghakiman.
Pusingan U
Jika Pendakwaraya memaklumkan mahkamah beliau tidak akan menentang rayuan Wan Ji apabila rayuan itu didengar oleh Mahkamah Rayuan pun, penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi kekal. Adalah tidak wajar bagi Pendakwaraya untuk berbuat demikian. Yang membawa Wan Ji ke mahkamah dan mendakwanya adalah Pendakwaraya; yang merayu ke Mahkamah Tinggi supaya hukuman ditambah adalah Pendakwaraya; bagaimana apabila sampai di Mahkamah Rayuan, Pendakwaraya hendak membuat pusingan U dan berkata Pendakwaraya tidak menentangnya?
Mahkamah Rayuan tidak boleh membenarkan rayuan semata-mata kerana Pendakwaraya tidak menentang. Mahkamah Rayuan juga tidak boleh membenarkan rayuan semata-mata atas hujah-hujah perayu. Hanya jika Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa sabitan itu tidak betul di atas fakta atau mengikut undang-undang, baharulah Mahkamah Rayuan boleh mengenepikan penghakiman dan hukuman itu. Perlu diingat, ini adalah kes jenayah, bukan kes sivil.
Nampaknya Tommy Thomas, Pendakwaraya, menyedari hal ini apabila beliau berkata dalam kenyataannya bertarikh 12 Julai 2019: “Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji pilihan-pilihan yang terbuka kepadanya berhubung dengan rayuan Wan Ji, tetapi menyatakan bahawa berdasarkan sabitannya oleh dua mahkamah, margin budi bicara di pejabatnya sangat terhad.” (The Star Online, 12 Julai 2019)
Hanya satu jalan yang tinggal iaitu bagi Wan Ji memohon pengampunan kepada Sultan Selangor yang begitu teruk dihinanya itu. Permohonan itu perlu di buat di Selangor kerana dia disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Tinggi di Selangor. Tidak malukah dia untuk berbuat demikian? Mungkinkah Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor mengampunkannya?
Jabatan Penjara tidak ada kuasa melepaskan Wan Ji kerana ia tertakluk kepada perintah mahkamah. Menuntut Pendakwaraya melepaskan Wan Ji di peringkat ini, Pendakwaraya sudah tidak ada kuasa lagi. Menuntut Mahkamah Rayuan, melepaskannya mungkin menjadi menghina mahkamah. Jangan pula Wan Ji masuk penjara kerana menghina sultan dan ketua-ketua Pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) masuk penjara kerana menghina mahkamah. Mereka patut menyedari semua ini sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Perlu disebut bahawa menuntut kerajaan PH menunaikan janjinya dan memansuhkan Akta Hasutan tidaklah salah. Tetapi ia hanya melibatkan kes-kes pada masa hadapan. Sama ada akta itu patut dimansuhkan atau tidak adalah suatu perkara lain dan saya tidak akan membincangkannya di sini. Sesiapa yang ingin tahu, sila layari laman-laman web saya dan membaca ucapan-ucapan saya mengenainya yang disampaikan pada 2014.
Menuntut Pendakwaraya, memberi penjelasan mengapa beliau merayu terhadap hukuman penjara sembilan bulan dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen menyebabkan ia ditambah menjadi satu tahun adalah suatu perkara yang tidak pernah berlaku semenjak merdeka di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Bezanya sepanjang masa itu, Peguam Negara/Pendakwaraya adalah dilantik daripada pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, bukan peguam swasta. Tommy Thomas adalah calon DAP dan pilihan PH. Ahli parti-parti komponen PH mungkin fikir bahawa beliau terhutang budi kepada PH dan mesti menurut telunjuk PH. Maka mereka berhak menuntut beliau memberi penjelasan mengapa beliau telah berbuat sesuatu yang berlawanan dengan dasar dan janji PH.
Tommy Thomas menjawab: “…beliau tidak mengetahui kes itu…sehingga Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan untuk mensabitkannya dan menambah hukumannya pada 9 Julai.”
Thomas memberikan urutan peristiwa kes itu yang menunjukkan bahawa Wan Ji telah dituduh dan disabitkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Tiada representasi bertulis yang pernah dibuat oleh tertuduh atau peguamnya kepada saya, dan saya sendiri tidak menyedari hal ini sehingga selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Julai menjadi pengetahuan umum.
“Ini tidak menghairankan kerana pada setiap hari bekerja, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan 13 buah negeri terlibat secara langsung, dalam beratus-ratus kes jenayah dan sivil….” (The Star Online, 12 Julai 2019)
Defensif
Beliau nampak defensif dalam jawapannya itu. Seorang Peguam Negara/Pendakwaraya yang dilantik daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan mungkin tidak menjawabnya atau jika menjawab pun, mungkin hanya berkata: “Itu budi bicara saya. Alasan saya ialah…” Tetapi Tommy Thomas tidak boleh berkata demikian. Beliau tahu kepada siapa beliau terhutang budi.
Walau bagaimanapun, beliau tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya kerana apa yang dilakukan oleh timbalan-timbalannya adalah dilakukan bagi pihaknya.
Beliau juga menjelaskan mengenai penggunaan Akta Hasutan 1948.
Beliau berkata: “Akta itu adalah antara manifesto PH yang menyatakan ia akan dimansuhkan, tetapi Kabinet tidak memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau memindanya.
“Di bawah sistem pemerintahan kita, Kabinetlah yang memutuskan bagi pihak badan eksekutif untuk membuat keputusan memansuhkan atau meminda undang-undang untuk dibawa ke Parlimen dengan Jabatan Peguam Negara membantu dalam merangka undang-undang baru.”
Thomas berkata: “Kabinet tidak memberi sebarang arahan untuk berhenti bergantung kepada Akta Hasutan.
“Arahan seperti itu, walau bagaimana pun tidak sah kerana ia akan menyentuh budi bicara mengikut Perlembagaan yang terletak hanya kepada Peguam Negara untuk memutuskan perkara-perkara pendakwaan bagi pihak negara.”
Thomas menambah bahawa apabila memegang jawatan pada Jun 2018, beliau memutuskan untuk menggunakan Akta Hasutan hanya sebagai langkah terakhir. Katanya: “Oleh sebab Akta Hasutan masih menjadi undang-undang, ia tidak boleh diketepikannya sepenuhnya. Itu hanya berlaku jika Parlimen memansuhkannya.”
Thomas menambah bahawa jika pendakwaan terpaksa dilakukan, beliau akan menggunakan Kanun Keseksaan, tetapi jika tidak ada alternatif mengikut undang-undang, maka dalam kes yang sesuai seperti katanya: “Tidak boleh menolak penggunaan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan.” (The Star Online, 12 Julai 2019)
Apa yang dikatakannya itu adalah betul. Pihak-pihak yang membuat desakan perlulah mengambil perhatian.
Kritik ulama
Siapakah Wan Ji? Saya menggoogle dan ini adalah hasilnya: Wan Ji dilahirkan di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan pada 1982 yang bererti dia berumur 37 tahun sekarang. Dia mendapat pendidikan awal di Institut Pendidikan al-Balaghul Mubin (Pasir Mas, Kelantan – tahfiz al-Quran) sebelum melanjutkan pengajian di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan; Jamia Farooqia Karachi, Pakistan (tidak diketahui dalam bidang apa dan hingga ke peringkat mana); Universiti Al-Azhar, Mesir (Syariah Islammiyah) dan Universiti Malaysia Kelantan (Kesusasteraan, ada yang mengatakan maqasid syariah).
Dia pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor, Ketua Exco Agama Pemuda PKR, penyelidik di Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI), Pegawai Penerangan dan Penasihat Agama di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dia mengarang beberapa buah buku antaranya bertajuk Andai Rasulullah SAW Bersama Kita; Kezuhudan Umar Abdul Aziz, Kesederhanaan Nik Abdul Aziz: Dua Tokoh Unik di Dua Zaman; Maqasid Syariah; Ustaz, Aku Tak Bangang!; Ustaz, Jangan Kasar Sangat!
Dia dikatakan banyak mengkritik ulama-ulama Malaysia. Semasa dalam Pas, dia pernah memanggil Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, Ketua Dewan Ulama Pas sebagai ‘ulama kepala lutut’. Dia menyifatkan Pas era Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai parti lebai. Dia bersetuju kalimah Allah digunakan oleh gereja Roman Katholik dalam upacara agama bahasa Melayu dan dalam Bible bahasa Melayu dan lain-lain.
Dari sini, dapat diperhatikan bahawa dalam umur yang begitu muda, dia telah mengkritik ulama-ulama Malaysia dengan bahasa yang begitu kasar, seolah-olah dia sahajalah yang betul. Dua tajuk bukunya yang terakhir disebut itu menampakkan reaksi pendengar ceramahnya kepadanya.
Adalah juga menghairankan bagaimana dia boleh berpindah dari Pas ke PKR dan menjadi Pegawai Penerangan dan Penasihat Agama di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang. Di sebaliknya timbul soalan mengapa dia dipilih oleh Lim Guan Eng? Adakah pendirian dia dalam isu-isu yang melibatkan Islam menyebabkan Guan Eng berpendapat dia boleh diperalatkan untuk kepentingan politik DAP? Nampaknya, itulah yang lebih berkemungkinan.
Pembaca dan saya percaya, Anwar, ketua-ketua pemuda parti-parti komponen PH, pemimpin-pemimpin NGO dan badan hak asasi manusia dan individu-individu yang membela kuat Wan Ji semuanya tidak membaca pun apa yang ditulisnya mengenai Sultan Selangor kerana ia tidak disiarkan oleh media massa. Apa yang disebut hanyalah dia mengeluarkan kata-kata yang menghina Sultan Selangor. Betapa seriusnya kata-kata itu tidak dirasai.
Anehnya, orang-orang yang membela dia hanya menunjukkan simpati terhadapnya. Sepatah pun tidak disebut mengenai orang yang dihinanya. Pejuang-pejuang hak asasi manusia pula lebih mementingkan hak orang yang menghina, bukan hak orang yang dihina, seolah-olah manusia mempunyai hak untuk menghina tetapi tidak ada hak untuk tidak dihina. Itukah kebebasan bersuara yang mereka perjuangkan?
TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah bekas Ketua Hakim Negara.











