KENYATAAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berhubung penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) adalah satu yang dinanti-nantikan. Sudah tiba masanya untuk Malaysia mempunyai majlis media sendiri kerana ia telah lama dibincangkan sejak tahun 70-an.
Namun segala perincian perlu diteliti bagi menyesuaikan dengan peredaran teknologi digital dan perkembangan media. Usaha menubuhkan badan pengawal seliaan media bebas ini sudah diperjuangkan oleh pengamal-pengamal media tempatan sejak sekian lama bagi mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.
Langkah seterusnya adalah untuk menjadikan badan pengawal seliaan itu sebagai suatu realiti. Penubuhan majlis media yang terbuka, bertanggungjawab dan telus dapat membantu membina keyakinan terhadap media, menyumbang kepada kredibiliti organisasi media berita khususnya media perdana. Usul ini adalah satu langkah yang penting dan juga tepat pada waktunya.
Ini memandangkan dua faktor utama iaitu melindungi dan menaik taraf profesion kewartawanan media perdana khususnya cabaran digital yang terpaksa mereka tempuhi dari segi pemberitaan serta impak platform-platform media sosial yang memberikan satu tekanan yang amat mendalam. Iaitu bukan sahaja trend media sosial yang banyak ke arah politik kebencian dan elemen-elemen hasutan dan fitnah malah ditambah dengan faktor-faktor berita palsu yang mempunyai elemen mis-information, dis-information dan mal-information.
Maka, usaha penubuhan majlis media dan pindaan undang-undang yang lama mengikut perkembangan teknologi adalah amat penting. Selain itu, penubuhan majlis media perlu selaras dengan keperluan media cetak dan media elektronik secara menyeluruh. Cadangan ini perlu juga mengambil kira faktor portal-portal media persendirian.
Maka, akta sedia ada dan bersifat lama perlu disemak semua atau dihapuskan. Akta yang mengekang kebebasan media seperti PPPA, perlu dimansuhkan. Di dalam keadaan convergence teknologi, tiada sebab kita harus menggunakan akta itu. Akta seumpama ini bersifat ‘pukat tunda’ yang tiada kepentingannya pada waktu ini. Ini kerana semakin dikongkong kebebasan media maka akan wujudnya populariti platform-platform media sosial yang lain yang membawa maklumat di dalam sekelip mata dengan faktor kepantasan teknologi dan kadar informasi yang banyak menggunakan pelbagai aplikasi interaktif aplikasi di dalam platform mereka.
Kita tidak boleh menggalakkan satu situasi di mana rakyat mendahagakan maklumat dan langsung tidak mempercayai pemberitaan media perdana. Dari segi indeks kebebasan akhbar dunia, hari ini kita telah melonjak ke 22 tangga ke atas iaitu 123 berbanding sebelum ini. Ini adalah satu tanda petanda yang baik menunjukkan media Malaysia hari ini mempunyai sedikit kebebasan dari segi pemberitaan.
Penubuhan majlis media akan meningkatkan lagi imej, kualiti dan profesionalisme industri media tanah air. Namun, soal kredibiliti yang perlu ditekankan. Sekiranya, kredibiliti dan transparency dari segi pemberitaan wujud, sudah tentunya rakyat akan merujuk kembali kepada media perdana untuk kesahihan sumber.
Di negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, tidak ada platform media talian persendirian yang meraih populariti kerana rakyat percaya terhadap pemberitaan media arus perdana. Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), yang masih di peringkat perbincangan, dilihat mampu akan menjaga integriti profesion kewartawanan. Majlis Media Malaysia (MMM) boleh melindungi wartawan dan melindungi hak mereka.
Apa pun, majlis ini harus dikendalikan sepenuhnya oleh pengamal media mahupun persatuan-persatuan media yang sedia ada seperti MPI, MNPA, IOJ, NUJ bagi mengelak timbulnya prasangka dalam kalangan masyarakat terhadap fungsi sebenar badan bebas ini nanti. Ia bagi memastikan badan pengawal selia media itu digerakkan berasaskan konsep dipacu oleh industri dan bukan didorong haluan oleh kerajaan.
PROF. MADYA DR. SARA CHINNASAMY ialah penganalisis politik dan media sosial dari Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM.











