INDUSTRI kelapa sawit merupakan satu industri yang sangat lumayan, terutamanya bagi negara di rantau Asia Tenggara yang serba kaya dengan sumber alam ini. Malaysia dan Indonesia, dua kuasa dominan dalam industri kelapa sawit, mengeksport 42.9 juta tan minyak kelapa sawit pada tahun 2013, jumlah yang merangkumi sejumlah besar eksport minyak dunia.

Untuk kedua-dua negara ini, industri ini merupakan pemacu sosio-ekonomi yang memberikan kebaikan di setiap peringkat usaha meningkatkan kualiti hidup bagi jutaan rakyat negara masing-masing.
Dengan adanya industri sebegini, pelbagai peluang pekerjaan telah diwujudkan di samping menjana sebahagian besar keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Malaysia dan Indonesia. Oleh itu, amatlah jelas bahawa tanpa industri ini, negara-negara sedemikian akan lingkup, di mana kebejatan ekonomi dan pengangguran berpotensi berlaku.
Namun demikian, kerisauan atas impak industri tersebut ke atas alam sekitar juga perlu diakui. Isu-isu seperti penebangan hutan, eksploitasi tenaga manusia dan impak aktiviti tersebut kepada perubahan iklim sering kali dilaporkan dan diulas di media antarabangsa.
Fenomena jerebu yang sering hadir tiap tahun di rantau ini juga berpunca daripada usaha membersihkan kawasan ladang dari pada sisa kelapa sawit. Akibat daripada itu, negara-negara asing, terutamanya blok European Union (EU) yang giat memacu usaha mengenakan sekatan ke atas import produk berasaskan kelapa sawit bagi tidak menggalakkan usaha membesarkan industri kelapa sawit.
Ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada negara-negara pengeluar produk kelapa sawit seperti Malaysia dan Indonesia, kerana boikot ke atas produk kelapa sawit memberikan kesan terhadap kutipan hasil negara.
Walau bagaimanapun, usaha “murni” ini tidaklah semunasabah seperti yang digembar-gemburkan media antarabangsa. Industri kelapa sawit di Malaysia terutamanya sudah sekian lama bergiat dalam usaha menjadikan industri tersebut lebih mesra alam dan mampan seiring dengan keperluan mengatasi isu-isu negatif yang sering dikaitkan dengan industri ini.
Usaha ini dilakukan bagi mengatasi stigma bahawa industri kelapa sawit mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Salah satu usaha yang dilaksanakan oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) ialah memastikan tanaman kelapa sawit di Malaysia menjana hasil yang lebih tinggi bagi setiap kawasan tanaman.
Hasil tersebut, yang juga bermutu tinggi adalah dari penggunaan benih hibrid dura x pisifera (DxP) dan juga penggunaan teknik tissue culture, di mana kedua-duanya menghasilkan buah kelapa sawit yang lebih banyak dan lebih berkualiti.
Pihak kerajaan juga mengadakan pelan berinsentif yang menggalakkan ahli industri kelapa sawit Malaysia untuk menerima pakai kaedah terbaharu dalam usaha menggalakkan penanaman kelapa sawit yang lebih mampan.
Kementerian Industri Utama mensasarkan industri kelapa sawit Malaysia mencapai status 100% Sustainable di bawah usaha Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) certification menjelang tahun 2020.
Usaha sebegini membolehkan industri menampung permintaan pasaran bagi hasil kelapa sawit tan paper lumem buka ruangan ladang yang baharu, sekaligus memastikan bahawa alam sekitar tidak tergadai hasil daripada usaha mengembangkan industri kelapa sawit.
Tidak wajar
Kelapa sawit juga merupakan tanaman yang memberikan hasil terbanyak bagi setiap hektar tanaman jika dibandingkan dengan benih-benih lain yang turut menghasilkan minyak.
Amatlah tidak wajar bagi pihak antarabangsa untuk mengenakan sekatan ke atas industri kelapa sawit ini kerana hasilnya lebih mampan daripada hasil tanaman benih lain yang turut menghasilkan minyak.
Mengikut logik pewujudan sekatan ke atas industri kelapa sawit, sekatan yang sama juga haruslah dikenakan bagi industri kacang soya yang turut menghasilkan minyak tetapi dengan keluaran hasil yang lebih rendah bagi setiap hektar tanaman.
Jika tidak, situasi ini dengan jelasnya memaparkan hipokrasi negara-negara yang menggalakkan sekatan ke atas eksport kelapa sawit.
Berkemungkinan juga usaha sebegitu merupakan langkah bagi negara-negara tersebut untuk menyingkirkan produk kelapa sawit sebagai produk pesaing kepada produk keluaran domestik mereka.
Jelas sama sekali bahawa industri kelapa sawit terutamanya di Malaysia bergiat aktif untuk mengatasi sebarang kekurangan atau kesan negatif yang dibawa oleh industri tersebut.
Turut sekali terbukti bahawa usaha mengenakan sekatan ke atas produk kelapa sawit juga sama ada tidak munasabah ataupun tidak adil sama sekali. Kita, selaku rakyat Malaysia, sewajarnya mendukung usaha untuk memperkasakan industri kelapa sawit negara dan menyokong sebarang usaha untuk menjadikan industri kita lebih mesra alam dan mampan.
Janganlah kita membelakangi hasil bumi kita disebabkan terlalu mempercayai agenda segelintir media antarabangsa yang berat sebelah. Sayangi sawitku, produk tempatan yang beribu kebaikannya.
Ahmad Mohsein Azman merupakan Presiden, National Assembly of Malaysian Students In America (NAMSA).
NAMSA akan mengadakan sesi forum tentang isu industri kelapa sawit di MSGA Summit 2019 yang akan berlangsung pada tarikh 20hb Julai 2019.











