PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa 97 unit jentera pemadam kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tersadai adalah akibat kerosakan power take off (PTO).
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan (JKS) mendapati kerosakan pada Fire Rescue Tender (FRT) itu bukanlah hanya disebabkan oleh kerosakan PTO semata-mata tetapi juga kerosakan-kerosakan lain.
Menurutnya, kerosakan tersebut juga berpunca daripada kekerapan pengunaan jentera bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran, penyelamatan dan khidmat kemanusiaan serta tugas-tugas khas oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negara.
“Sebagai contoh, bagi negeri Selangor purata panggilan operasi adalah sebanyak 17,161 setahun atau 536 operasi bagi setiap jentera FRT setahun atau 44 panggilan operasi sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa 97 unit jentera bomba yang dibeli pada tahun 2007, 2010 dan 2014 mengalami kerosakan besar dalam jangka waktu singkat.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, hasil siasatan JKS mendapati bahawa pihak JBPM membuat perolehan FRT pada tahun 2007 dengan bilangan jentera sebanyak 42 buah dan 100 buah bagi tahun 2011 dan 2012.
“Usia jentera-jentera FRT tersebut telah mencapai antara tujuh hingga 12 tahun. Dengan usia sedemikian, purata kerosakan sebanyak 10 kali bagi setiap jentera adalah sesuatu yang normal.
“Berikutan penggunaan yang tinggi maka ianya wajar ditukar kepada jentera baharu bagi melancarkan operasi pihak JBPM,” katanya.
Zuraida berkata, sebanyak 60 daripada 97 unit jentera FRT itu berstatus baik manakala dalam proses pembaikan (13), dalam proses sebut harga (10), dalam tindakan penyaluran peruntukan (8), dalam siasatan kemalangan (1), dalam proses pemeriksaan (3) dan dalam proses pelupusan (2).
Sementara itu, Zuraida, isu pembekal gagal menyediakan reka bentuk, peralatan dan
pemasangan yang betul hingga menyebabkan jentera FRT itu tersadai juga adalah tidak benar.
Ini kerana, katanya, pihak JBPM telah memastikan semua proses penyediaan reka bentuk dan spesifikasi jentera dipatuhi mendapati isu yang dibangkitkan adalah tidak timbul sama sekali.
“KPKT sentiasa memastikan cadangan peruntukan penyenggaraan jentera bomba disediakan dan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan melalui Perbelanjaan Mengurus setiap tahun.
“Sekiranya peruntukan penyenggaraan tidak mencukupi, permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementerian mengambil serius terhadap laporan tersebut yang telah menjejaskan nama baik kementerian dan JBPM secara khususnya sebagai sebuah jabatan yang penting dalam pencegahan, pemadaman kebakaran dan khidmat kemanusiaan. – K! ONLINE











