KUALA LUMPUR 17 Julai – Bantahan yang dibuat oleh bekas pekerja Megasteel Sdn. Bhd. yang telah dibuang kerja berikutan kes mereka yang difailkan di Mahkamah Perusahaan Malaysia telah dibatalkan.
Kes tersebut telah dirujuk oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran ke Mahkamah Perusahaan Malaysia untuk dibicarakan bagi representasi melibatkan 36 pekerja.
Menurut Kementerian Sumber Manusia, kes berkenaan di Mahkamah Perusahaan tertangguh berikutan satu Perintah Menahan (Restraining Order) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mei 2018.
Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengesahkan satu perintah bertarikh 16 Mei 2018 yang menyatakan bahawa Restraining Order bertarikh 5 Mei 2018 adalah mengikat Mahkamah Perusahaan untuk tidak meneruskan perbicaraan sehingga mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Pada masa sama, pihak pekerja tidak membuat sebarang permohonan untuk menamatkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya perbicaraan di Mahkamah Perusahaan dapat diteruskan.
“Oleh demikian, Mahkamah Perusahaan Malaysia memutuskan untuk membatalkan kes tersebut dengan kebebasan memfailkan semula kes dari tarikh award diturunkan pada 1 Julai 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











