BESUT 17 Julai – Seramai 76 pelajar dan guru Kelas Pendidikan Khas Pembelajaran (KPKP) dari 11 buah sekolah di daerah ini menyertai Minggu Penghayatan Islam yang diadakan di Masjid Iqra Kampung Paya Rawa, hari ini.
Program anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila itu antara lain memberi tumpuan kepada tiga topik utama iaitu asas penyembelihan, mandi junub di samping lawatan ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.
Penyelaras program, Hamdan Hamid berkata, selain mendedahkan pelajar tentang cara penyembelihan haiwan ternakan mengikut syariat Islam, program itu dalam masa sama dapat mendekatkan peserta dengan masyarakat setempat.

“Dua ekor kambing dan enam ekor ayam disembelih, dibersihkan sebelum dimasak dan dijadikan juadah untuk dinikmati oleh peserta dan jawatankuasa kebajikan masjid.
“Pelajar turut didedahkan dengan cara-cara mandi junub untuk memberi kefahaman mendalam tentang keperluan dan tanggungjawab sebagai seorang Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











