MARANG 17 Julai – Penjara Marang di sini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sekali gus menjadi institusi pemulihan kedua dianugerahkan persijilan halal selepas Penjara Tawau, Sabah tahun lalu.
Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab. Latiff berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian membanggakan selaras dengan hasrat pihak pengurusan tertinggi Jabatan Penjara Malaysia yang sentiasa menekankan aspek keselamatan dan kebersihan dijadikan amalan di dalam penjara.
“Kami bangga kerana penganugerahan ini kita jadi peneraju dan perintis Persijilan Halal bagi institusi pemulihan di negara ini. Penjara Marang adalah institusi penjara pertama di Semenanjung yang dapat persijilan halal dan kedua di negara ini selepas Penjara Tawau, Sabah.
“Dengan adanya sijil halal ini, kita boleh jadi contoh kepada agensi lain terutama institusi penjara di negara ini untuk turut berbuat demikian selain dijadikan penanda aras yang sangat penting dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kita dalam menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan SPHM kepada Penjara Marang di penjara tersebut di sini hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd. Azam Awi.
Yang turut hadir ialah Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharudin Mohd. Kia.
Menurut Wan Sani, sebelum membuat permohonan mendapatkan persijilan halal, bahagian dapur Penjara Terbuka Marang pernah menerima teguran beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum pihaknya mengarahkan pegawai dapur berusaha membuat perubahan sebaik mungkin dengan kaedah terbaik.
Ekoran itu katanya, bahagian dapur Penjara Terbuka Marang bukan sahaja sentiasa kelihatan bersih, tetapi sudah tiga kali berturut mendapat pengiktirafan kategori A daripada Jabatan Kesihatan daerah yang membuat pemeriksaan.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak melibatkan kakitangan dan juga 2,636 penghuni di penjara itu akhirnya membuahkan hasil membanggakan apabila menerima Persijilan Halal Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penubuhan penjara itu selepas hanya sekali membuat permohonan.
“Saya berharap kejayaan ini dikekalkan agar terus cemerlang pada masa akan datang dan apa yang penting kita akan terus beri fokus dari aspek kebersihan bahagian dapur bagi memastikannya terus kekal berkualiti, sentiasa selamat dan bersih,” katanya. – UTUSAN ONLINE











