KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Indonesia, hari ini.
Dalam kejohanan Siri Jelajah Dunia Super 1,000 di Istora Senayan, pemain berusia 21 tahun itu menundukkan wakil Thailand, Khosit Phetradab 21-14, 21-13 untuk bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Chen Long yang menundukkan Tommy Sugiarto 22-20, 14-21, 21-17.
Turut ke pusingan kedua, perseorangan wanita, Soniia Cheah selepas menundukkan wakil China, Chai Yan Yan 21-8, 21-17 dan berkemungkinan besar akan bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Nozomi Okuhara.
Harapan untuk menyaksikan pasangan beregu, Teo ee Yi-Ong Yew Sin melangkah ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tewas 21-17, 15-21, 16-21 kepada pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.
Turut terkandas pasangan bebas, Chooi Kah Ming-Low Juan Sheng selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso 15-21, 18-21.-UTUSAN ONLINE











