Syarikat yakin prestasi eksport - Utusan Malaysia

Syarikat yakin prestasi eksport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – 59 peratus syarikat-syarikat tempatan di Malaysia yakin prestasi pasaran eksport negara akan terus berkembang tahun ini meskipun berdepan dengan persekitaran global yang tidak menentu.

Arlene Wherrett

Naib Presiden dan Pengarah Urusan Sage Asia, Arlene Wherrett berkata, berdasarkan hasil tinjauan dalam laporan bertajuk We Power the Nation mendapati sebanyak enam daripada 10 syarikat tempatan di Malaysia yakin pasaran eksport tempatan bakal berkembang dalam masa 12 bulan akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, berdasarkan hasil tinjauan tersebut, syarikat-syarikat pengeksport di Malaysia dijangka terus setia dengan rakan dagangan terbesarnya iaitu China (43 peratus), Amerika Syarikat (27 peratus) dan Jepun (26 peratus) walaupun sektor perdagangan kini kurang stabil berikutan kemelut perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.

“Pencapaian prestasi tahunan dan peningkatan kadar keuntungan serta prospek pasaran perdagangan serantau yang semakin kukuh menyumbang kepada pandangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tinjauan yang dilakukan Sage itu dijalankan bagi mengkaji impak perdagangan antarabangsa terhadap sektor eksport Malaysia dan meliputi data daripada 3,000 buah organisasi yang beroperasi di 12 buah negara di seluruh dunia.

Tambah Wherrett, langkah mempelbagaikan pasaran eksport dalam tempoh 12 bulan akan datang akan menjadi strategi utama bagi menangani masalah ketidakstabilan sektor perdagangan dunia.

Katanya, selain itu sebanyak 68 peratus daripada responden syarikat-syarikat tempatan juga meluahkan minat untuk mene­rokai pasaran Asia.

“Selain pasaran Asia, Australasia (32 peratus) adalah pasaran sasaran dan rebutan bagi para pengeksport Malaysia selepas ini dan diikuti dengan pasaran Eropah (30 peratus).

“Berdasarkan hasil tinjauan ini, pembangunan masa depan sektor perdagangan banyak bergantung kepada kepelbagaian program dan promosi produk-produk eksport anjuran daripada pihak kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Jalinan kerjasama antara negara-negara serantau juga perlu diberi keutamaan,” katanya.

Hasil tinjauan itu juga mendapati sektor perdagangan turut mendapat impak daripada pelbagai cabaran dan halangan utama dengan 33 peratus responden berpendapat antara isu utamanya termasuk perbezaan dari segi piawaian kualiti produk eksport.

“Ini diikuti oleh cabaran ketidakstabilan politik (32 peratus) dan pematuhan peraturan yang tidak tetap (29 peratus),” katanya.

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini