GERIK – Sebuah treler membawa muatan bahan mentah plastik yang terbalik di Kilometer 12, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini mengakibatkan lebih lapan kilometer jalan sesak di kedua-dua arah tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, treler tersebut terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lasak pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.
“Kemalangan berlaku apabila Isuzu D-Max dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun dari arah Jeli ke Gerik itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Kenderaan tersebut kemudiannya bertembung dengan sebuah treler menyebabkan kenderaan berat itu terbalik dan melintang di tengah jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Ismail, kemalangan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan terhadap pemandu dan tiga penumpang Isuzu D-Max serta pemandu treler berusia 45 tahun itu.
“Akibat kemalangan tersebut, berlaku kesesakan jalan raya di kedua-dua arah namun laluan alternatif dibuka melalui lorong di bahu jalan untuk kenderaan ringan.
“Tiga anggota polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah ditugaskan membuat kawalan lalu lintas sementara menunggu proses mengalihkan treler selesai,” katanya.
Katanya, proses mengalihkan treler itu dijangka mengambil sedikit masa memandangkan kren yang akan digunakan itu dari Kuala Kangsar. – K! ONLINE











