KUALA LUMPUR 17 Julai- Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Jalan Sungai Buloh- Kepong berhampiran Decathlon Sri Damansara dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6,45 petang itu, mangsa, Mohd. Jamil Iskandar Jaafar, 35, yang bertugas sebagai Ketua Unit Motosikal JPJ Kuala Lumpur meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, mangsa yang menunggang mootosikal jenis Lagenda itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Hasil pemeriksaan mendapati lokasi kemalangan mempunyai tiga lorong. Ketika kejadian, keadaan jalan basah dan cuaca gelap.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE











