KUALA LUMPUR – Atlet petanque negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud berazam untuk mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Manila 2019.
Atlet berusia 26 tahun yang juga pemenang acara perseorangan di Kuala Lumpur 2017 itu akan menyertai temasya dwitahunan itu buat kali kelima namun masih belum pasti acara yang akan disertainya.
Katanya, kehadiran semula jurulatih, Syed Ali Syed Akil dan Zanilisa Mohamed dilihat akan menjadi pemangkin semangat kepada keseluruhan skuad bagi menggalas cabaran negara di Filipina.
“Kami yakin mampu membawa pulang emas. Selain jurulatih, kehadiran rakan sepasukan yang lama juga menyuntik semangat kami untuk membawa pulang emas kali ini.
“Kami semua sepakat. Jadi tidak kisah diletakkan dalam acara apa sekali pun kerana latihan kami dibuat secara menyeluruh,” kata atlet kelahiran Kota Bharu itu.
Muhammad Hafizuddin berkata, kejohanan yang disertai sebelum ini sudah memadai untuk pasukan melakukan persiapan bagi temasya bermula 30 November hingga 11 Disember ini.
“Setakat ini, hanya satu kejohanan antarabangsa yang disertai kami iaitu di Pattaya pada awal tahun ini dan kami meraih perak dalam acara double.
“Jadi untuk menghadapi Thailand, Kemboja dan Laos di Filipina nanti, ia bukan masalah besar sebab ikut keputusan pun, kalau kalah, hanya kalah tipis,” katanya.
Muhammad Hafizuddin melakar sejarah buat sukan petanque negara apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia selepas muncul juara perseorangan lelaki dalam Sukan SEA Singapura 2015.
Pada temasya Kuala Lumpur 2017, skuad petanque negara secara keseluruhannya meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.-UTUSAN ONLINE











