MENYOROT keberadaan sastera dalam urat nadi masyarakat hari ini umpama melewati urat daging pesakit di dalam dewan bedah; sungguh halus dan sulit meskipun ia memang terjalin sebagai salah satu urat darah yang membuatkan tubuh badan bergerak untuk maju dan memacu.

Seperti itu jugalah sastera bukanlah sesuatu yang asing tetapi menjadi asing terutama bagi golongan belia kerana pandangan dalam pemikiran sesetengah pihak yang cenderung menyatakan sastera tidak membantu pembangunan negara.
Hari ini seni sudah diindustrikan. Seni dalam tanah air khususnya dilihat bukan lagi sesuatu yang mencerna akal dan budaya minda. Ini bukan kesimpulan yang muktamad tetapi kenyataannya begitu. Apakah munasabah pada persoalan seni diindustrikan?
Pertanyaannya bukan disitu tetapi apakah setelah diindustrikan seni ini, maka ia boleh memberikan sesuatu yang lebih besar kepada khalayak.
Apakah selepas diindustrikannya ia tetap sebagai satu karya seni yang mementingkan pemikiran dan ketinggian estetikanya? Seharusnya pemikiran itu perlu dipulangkan kepada khalayak dalam bentuk kesempurnaan makna dan nilai budi, bangsa dan kebudayaan dalam karya mereka.
Menemukan magis untuk membuat para belia khususnya dan masyarakat mengerling pada dunia sastera adalah sulit, apalagi persaingan yang hadir lewat menjelang 2020 datang dari pelbagai cabang termasuk ekonomi, peragaan, sukan, hiburan dan sosial menjadi cabaran buat para seniman sastera dan aktivis meneruskan usaha merancakkan dunia bahasa.
Sepanjang sedekad belakangan ini, pelbagai perubahan telah berlaku termasuklah penerbitan kumpulan puisi yang pernah galak diusahakan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk penulis baharu yang kemudiannya diteruskan oleh pelbagai gerakkan persendirian selain keaktifan persembahan baca puisi daripada karya yang diterbitkan itu.
Sebagai seorang seniman, penulis dan aktivis seni yang bermula dengan menulis, menghadirkan diri, melakukan persembahan, mengelola beberapa siri baca puisi sehinggalah menerbitkan sendiri karya dan mengepalai festival sastera bertaraf antarabangsa, saya belum menemukan kepuasan.
Semacam ada kelompongan yang tidak diisi selain tema dan persoalan yang ditimbulkan masih di ruang yang sama. Belum pula tentang badan berwajib dan pertubuhan bukan kerajaan masih samar dalam mendukung usaha ini sementara masyarakat masih terpinga-pinga tentang keindahan Bahasa Melayu dan kepentingan terhadap kepengunaannya.
Sejak 2015, saya memulakan kembara ke luar negara untuk menonton sendiri bagaimana sastera dan seni budaya mereka buka sahaja dipersembahkan malah dipraktikkan.
Indonesia, Singapura, Moskow, Istanbul, Brunei, Kyrgyzstan, Dhaka dan Nepal antara yang saya kunjungi melalui undangan mewakili negara bagi membawa seni puisi dalam bersyair dan lagu untuk dipersembahkan. Jauh lebih dari itu, penelitian terhadap perkembangan seni dan perbahasaan yang berlegar di sekitar kehidupan masyarakat mereka.
Untuk menyampaikan kepentingan ini, sesuatu perlu dilakukan lebih dari menerbitkan buku dan berdialog. Apatah lagi kita mempunyai tidak sedikit pendeklamasi dan penyair yang berwibawa namun tidak banyak pula pentas untuk menyerlahkannya. Lalu saya terfikir untuk menghidupkan muzikalisasi puisi.
Terma muzikalisasi puisi belum saya temukan ketika itu dalam acara di dalam negara kerana lebih kerap dengan judul baca puisi tetapi telah sering digunakan di Indonesia dan di negara lain dengan konsep gabungan persembahan puisi dengan muzik tanpa pemudah acara.
Saya menggagaskan Puitika dalam usaha menyemarakkan dunia persembahan dengan konsep muzikalisasi puisi pada 2017 yang membuka tirai melalui Konsert Puitika Pujangga di Istana Budaya seterusnya Puitika Penang di Pulau Pinang,
Nada Puitika di MatiC KL dan terbaharu Festival Puitika Timur di Kota Bharu pada 3 Mei 2019. Puitika menyatukan pelbagai cabang seni termasuklah deklamasi, lagu puisi, muzik tradisional dan kontemporari, tarian, monolog, fragmen teater dan lukisan secara langsung yang dicantum-cantum menjadi sebuah persembahan panjang.
Konsepnya pula bukan hanya membaca puisi tapi aura mempersembahkannya. Ini cabaran dan tingkat baharu kepada para deklamator kerana tidak ramai daripadanya memiliki kemahiran menguasai pentas.
Seperti di Indonesia yang kerap dilihat sebagai gudang deklamator hebat misalnya Asrizal Nur, Sastri Bakry, Rois Rinaldi, Sharifuddin Ariffin dan Siamir Marulafau, kita juga tidak kalah dengan Prof. Datuk Rahman Shaari, Dr. Lim Swee Tin, Lin Haslinaz, AGI, Fairul Pujangga dan Roslan Madun, antara seniman yang perkasa dalam hal ini.
Hanya sanya, selepas Datuk M. Nasir, Kopratasa dan Zubir Ali, saya sukar melihat perkembangan penyanyi yang bersama saya dalam melopor lagu-lagu puisi selain beberapa nama era baharu; Ana Rafali sebelum ini dan Wany Ardi.
Menemukan minat untuk menyebarluaskannya terbahagi pula kepada dua; sokongan penganjuran dan sokongan masyarakat penonton. Siri Puitika yang seterusnya menarik keprihatinan beberapa pihak kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Think City Sdn. Bhd. selain Pusat Pelancongan Malaysia, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Kelantan.
Penglibatan siswazah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan juga dilihat sebagai usaha menyemai kecintaan para belia terhadap perusahaan ini.
Dalam kebersamaan dengan pelbagai pihak ini, muzikalisasi yang terisi pengucapan dan lagu puisi bercitra murni dapat mencuri perhatian orang awam sebagai satu wadah dan gaya untuk mendekati dan meladani sastera nasional.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan, peratusan penonton yang hadir dalam acara ini cenderung kepada orang awam yang jarang mendekati sastera dan mula memahami istilah dan kepenggunaan Bahasa Melayu Tinggi untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Perkembangan yang positif ini perlu diteruskan oleh pelbagai pihak dengan lebih banyak perusahaan muzikalisasi puisi agar deklamator dapat mengekspresikan deklamasinya dan lagu puisi dapat berkembang seiring dengan pelbagai genre lagu dalam industri hiburan.
Menjelang Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 dan Tahun Melawat Malaysia 2020, tidak hanya Konsert Puitika Pujangga ASEAN yang mengumpulkan seniman rantau ini sedang direncanakan, muzikalisasi puisi dan seniman didalamnya perlu diperhalusi dan dipandang sebagai duta kecil yang membawa seni kebangsaan.
Wajarlah mereka dipersembahkan kepada khayalak dengan sokongan badan berwajib termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan institusi televisyen serta radio. Puisi, kepuisian dan penyair yang berwibawa perlu menjadi sebahagian daripada pengisian dalam setiap program yang dianjurkan.
Sejajar dengan geobudaya dan relativisme budaya yang berakarkan bahasa Melayu, maka sastera Melayu yang mengidentifikasikan jiwa ‘keMelayuan’ perlu terus dapat hidup di beberapa wilayah Melayu seperti Selatan Thailand, Singapura, Brunei, Malaysia dan Indonesia.
Citra bangsa akan terus terlukis dan kekal dalam genre sastera Nusantara selagi para pengarang masih sensitif dan memiliki harga diri serta berani mengungkap fenomena yang wujud dalam masyarakatnya melalui bahasa yang mudah difahami dan dekat dengan diri masyarakatnya, serta tidak mudah tunduk dengan desakan atau ideologi politik praktis.
Umar Uzair merupakan penyanyi, penulis dan penyair muda. Dia juga merupakan Ketua Pegawai Pengurusan Meja Poedjangga Malaysia dan Penyair Muda ASEAN 2015.











