Keluarkan kenyataan biar berasas, berpandukan fakta - Utusan Malaysia

Keluarkan kenyataan biar berasas, berpandukan fakta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Julai – Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw berpesan kepada semua pihak, terutamanya ahli politik supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

Mengulas tentang kontroversi perkataan ‘rompak’ yang digunakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada Ogos tahun lalu, beliau berpendapat setiap kenyataan yang dikeluarkan haruslah mempunyai asas dan berpandukan fakta.

“Apa sahaja sebutan mestilah berteraskan kepada fakta. Itu yang saya boleh tegaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita tengok fakta itu, kita boleh membezakan apa yang betul dengan yang tidak betul. Kita tak boleh buat kenyataan yang tidak berasas,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Guan Eng pada sidang Dewan Rakyat Ogos tahun lalu mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘merompak’ wang bayaran balik GST apabila tidak memasukkan hasil GST ke dalam akaun Kumpulan Wang Bayaran Balik GST seperti sepatutnya.

Ia telah menyebabkan bayaran balik GST kepada syarikat-syarikat yang membuat tuntutan tertunggak sehingga RM19.47 bilion.

Walau bagaimanapun, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang dibentangkan semalam mengesahkan wang untuk bayaran balik GST tidak dirompak sebaliknya digunakan oleh kerajaan terdahulu untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Mengulas lanjut, Seng Giaw berpendapat rakyat akan menilai kenyataan Guan Eng sama ada ia boleh mencalar kredibiliti Setiausaha Agung DAP itu serta partinya ataupun tidak.

“Itu terserah kepada orang ramai. Orang ramai boleh fikir dengan tepat dan ada fikiran yang tersendiri.

“Dalam kehidupan kita, kita kenalah memandang kepada apa yang berlaku, hakikat dan kenyataan itu perlu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini