KUALA LIPIS – Wira tidak didendang. Itu gelaran yang wajar diberikan kepada ibu bapa, guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan SK Betau yang bertungkus-lumus membina kolam takungan di atas bukit sebagai sumber air.
Ini berikutan masalah air yang berlarutan sekian lama di Betau yang seolah-olah menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian.
Ketiadaan air sangat menyukarkan pelajar terutamanya mereka yang tinggal di asrama. Turut terjejas adalah para guru yang bertugas di sekolah tersebut.

Menyedari isu yang seperti tiada jalan penyelesaian itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Betau telah mengambil satu tindakan proaktif dengan menganjurkan program gotong-royong membina kolam takungan air.
Ibu bapa, guru dan pelajar hanya menggunakan cangkul, buluh serta jentera jentolak untuk mengali kolam terbabit. Mereka mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan kolam tersebut.
“Inilah wira-wira yang tidak didendangkan di Betau. Ibu bapa bersatu hati dan berkerjasama dengan para guru lelaki, serta anak-anak sekolah Betau membina dam bagi tujuan menyalurkan air ke sekolah.
“Semoga khidmat bakti ibu bapa, para guru dan pelajar sekolah yang sanggup mendaki bukit, berkubang, berselut, meredah belukar, membaiki dam ini akan diberi pembalasan setimpal oleh Allah,” kata seorang bapa yang tidak mahu dikenali.

Menurut beliau, kolam takungan air tersebut juga dibina kerana bimbangkan keselamatan anak-anak yang terpaksa pergi ke sungai untuk mandi dan membasuh pakaian berikutan masalah air yang dihadapi mereka.
Beliau berkata, pengalaman membina kolam takungan air tersebut pastinya sangat berharga kepada anak-anak murid SK Betau.

“Mungkin sebab tiada anak orang ternama di sini. Jadi, keadaan ini akan berlanjutan beberapa generasi lagi. Tahniah kepada PIBG kerana turut bersama para guru menangani isu air di Betau.
“Bayangkan hampir beberapa bulan saja lagi kita akan memasuki era 2020 tetapi masyarakat di sini masih lagi bergelut dengan keperluan asas. Di mana pemimpin yang sepatutnya peka dengan kebajikan rakyat?,” tanya bapa tersebut.-UTUSAN ONLINE











